[VIDEO] Leka main telefon, lelaki 'hilang' sekelip mata dirempuh kereta


  • Benua
  • Isnin, 17 Okt 2022

Tangkap layar memaparkan seorang lelaki leka bermain telefon ketika melintas jalan di Bisalpur, India.

GARA-GARA leka bermain telefon, seorang pejalan kaki dilaporkan maut akibat dirempuh sebuah kereta ketika sedang melintas jalan di daerah Bisalpur, Uttar Pradesh, India pada Ahad.

Kejadian tersebut yang sempat dirakamkan kamera litar tertutup (CCTV), tular di media sosial selepas dikongsikan pemilik akaun Twitter, Priya Singh.

Menerusi rakaman tersebut, mangsa dilihat leka bermain telefonnya ketika melintas sebuah jalan raya di daerah Bisalpur dan tidak peka dengan keadaan sekeliling.

Namun, sebelum dia sempat melintasi jalan tersebut, sebuah kereta yang memecut laju muncul secara tiba-tiba dan merempuh lelaki itu, menyebabkan mangsa 'hilang' dari rakaman CCTV itu.

Laporan menyatakan lelaki tersebut meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital berdekatan akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Tiada kenyataan dikeluarkan pihak berkuasa berhubung kejadian itu sama ada pemandu kereta terbabit sudah ditahan atau belum.

Kejadian itu berlaku sehari selepas satu lagi kemalangan ngeri melibatkan sebuah kereta BMW merempuh trak di Lebuh Raya Purvanchal dekat daerah Sultanpur, Uttar Pradesh.

Laporan menyebut kereta itu dipandu dengan kelajuan 230 kilometer sejam dan menyebabkan empat orang di dalamnya maut.

Sebelum kemalangan itu berlaku, seorang daripada penumpang BMW itu berkongsikan pengalamannya menaik kereta itu dengan kelajuan tinggi dan kedengaran suara penumpang lain yang ketakutan.

Pada bulan lepas, satu lagi insiden sempat dirakamkan di Uttarakhand apabila seorang remaja terpelanting selepas dilanggar sebuah kereta dipandu laju.

Video kejadian langgar lari itu dikongsikan polis Uttarakhand di Twitter namun tiada maklumat tentang penahanan suspek. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram