SEBUAH video menjadi sensasi di internet apabila ia memaparkan kepantasan anggota bomba di Jepun menyelamatkan seorang wanita daripada cubaan bunuh diri dengan menendangnya masuk ke dalam rumah, lapor laman India Today.
Menerusi video yang dimuat naik di laman Twitter, kelihatan seorang wanita sedang duduk di tebing tingkap dengan kakinya terjulur keluar bangunan.
Tiba-tiba seorang anggota bomba yang turun dari tingkat atas menggunakan tali keselamatan bertindak menendang wanita itu masuk ke dalam rumah untuk mengelakkannya daripada terjun.
“Tindakan bijak seorang anggota bomba Jepun menyelamatkan nyawa wanita yang berniat bunuh diri,” demikian menurut kapsyen video tersebut.
Meskipun sesetengah pengguna media sosial kagum dengan teknik sepakan tersebut namun ada juga yang mempersoalkan integriti anggota bomba berkenaan.
“Apakah jenis teknik menyelamat dengan menendang mangsa seperti ini?” komen seorang pengguna.
Sehingga kini, video itu berjaya meraih lebih empat juta tontonan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram