
SEORANG wanita bertindak menembak teman lelakinya selepas mendakwa lelaki itu mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain.
Dalam kejadian itu, pasangan tersebut berada di kediaman mereka yang mana waktu itu mangsa hendak keluar mencari makanan sebelum wanita terbabit melepaskan satu das tembakan dari arah belakang.
Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), mangsa terjatuh dan terbaring kesan daripada tembakan tersebut.
Berdasarkan video berdurasi satu minit 39 saat itu, suspek kelihatan menjerit dan mahu menembak mangsa sebanyak 13 kali namun gagal kerana wanita itu tidak mahir menggunakan pistol.
Kejadian itu dipercayai berlaku di Sao Paulo, Brazil pada Khamis.
Difahamkan pasangan terbabit sudah menjalinkan hubungan cinta selama satu tahun dan tidak pernah menghadapi konflik besar seperti ini.
Mangsa sempat melarikan diri dengan mengesot masuk ke dalam lif dan mendapatkan bantuan daripada orang ramai sebelum dihantar ke hospital.
Mangsa membuat laporan polis dan mendakwa pistol tersebut bukan miliknya dan motif kejadian dipercayai suspek cuba membunuh selepas menuduh mangsa mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain.
Suspek yang menghilangkan diri kini diburu pihak polis. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram