SEORANG wanita di Cirebon, wilayah Jawa Barat, Indonesia menjadi perhatian orang ramai kerana tinggal di kawasan perkuburan bersama keluarganya tanpa mempunyai jiran tetangga, lapor laman berita Dream pada Khamis.
Wanita hanya dikenali sebagai Bu Ayu itu berkata, dia bersama suami dan anak-anaknya sudah tinggal di kawasan tersebut selama lima tahun.
Berdasarkan video yang dimuat naik di saluran YouTube Dendenny, Bu Ayu menyambut kedatangan pesohor YouTube itu sambil duduk di atas buaian yang didirikan di antara beberapa buah kubur.
Menurut wanita berkenaan, pada awalnya dia berasa takut tinggal di situ kerana tidak mempunyai seorang pun jiran melainkan hanya ditemani dengan tapak-tapak perkuburan.
Di bahagian belakang rumah mereka pula terdapat sebatang sungai dan pokok besar yang sering dikaitkan dengan makhluk halus.
Namun, Bu Ayu berkata, selama menetap di situ, dia dan keluarganya tidak pernah diganggu oleh kejadian aneh melibatkan makhluk halus.
Mereka sebaliknya hanya berasakan suasana lebih hening dan menyeramkan ketika waktu malam atau cuaca hujan.
Bu Ayu bagaimanapun mengaku pernah terdengar bunyi seperti tangisan dari arah kubur jenazah yang baru dikebumikan, namun tidak pernah mengambil peduli dengan bunyi tersebut.
“Kami ingin merasai bagaimana rasanya mempunyai ‘jiran’ yang merupakan jenazah yang telah meninggal dunia.
“Tinggal bersama makhluk yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar adalah lebih menenangkan berbanding tinggal bersama manusia yang sering berbuat bising,” kata Bu Ayu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram