[VIDEO] Gaduh berebut parkir, leher penuntut U ‘bocor’ tertusuk panah


  • Benua
  • Jumaat, 30 Sep 2022

Tangkap layar video tular pergaduhan melibatkan pelajar di sebuah universiti di Indonesia. — Agensi

SEORANG pelajar universiti negara jiran mengalami kecederaan tertusuk anak panah dalam satu kejadian pergaduhan di Gowa, Sulawesi Selatan, Indonesia pada Isnin lepas.

Selain mangsa, dua lagi pelajar lain turut mengalami kecederaan ekoran pergaduhan yang berpunca rasa tidak puas hati kedua-dua pihak.

Menerusi rakaman video pergaduhan yang tular, sekumpulan pelajar universiti menyerang kesemua mangsa dengan menggunakan senjata tajam dan anak panah.

Ketika kejadian, petugas keselamatan di Kampus Fakulti Kedoktoran dan Ilmu Kesihatan Universitas Islam Negeri (UIN) turut membantu meleraikan pergaduhan.

Sementara itu, Ketua HMJ Kesihatan Masyarakat (Kesmas) UIN, Juniar berkata, kejadian berpunca daripada isu parkir motosikal.

Menurut Juniar, terdapat beberapa pelajar lama yang menghalang pelajar baharu daripada meletakkan kenderaan di dalam kawasan universiti.

"Sedangkan perkara itu tiada dalam peraturan dan itu menyebabkan ada pelajar baharu yang bersuara sehingga membuatkan pelajar lama tidak berpuas hati," katanya.

Sementara itu, wakil Dekan FKIK UIN, Prof Muhtar Lutfi berkata, pihaknya sudah mengetatkan kawalan keselamatan untuk mengelak insiden pergaduhan berulang. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram