[VIDEO] Nahas 9 kenderaan, misteri jalan 'berpuaka' cetus tanda tanya


  • Benua
  • Jumaat, 30 Sep 2022

Tangkap layar rakaman beberapa kenderaan yang terbabas di Jalan Suwinthawong, Chachoengsao, timur Thailand baru-baru ini. — Agensi

SATU rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) mendedahkan sebanyak sembilan kenderaan hilang kawalan di tempat sama di sebuah lebuh raya di wilayah Chachoengsao, timur Thailand, antara 24 hingga 26 September lepas.

Kamera keselamatan di sebuah premis pengedar kereta terpakai di Jalan Suwinthawong di daerah Mueang itu merakam sembilan kenderaan hilang kawalan secara tiba-tiba dan berpusing di atas jalan.

Kebanyakannya dilihat terbabas ke arah parit berpaya di tepi lebuh raya berkenaan.

Timbalan Pengarah Daerah Lebuh Raya, Chachoengsao Tossaporn Payurawong pada Khamis memeriksa kawasan tersebut bersama Penguasa Balai Polis Chachoengsao, Pitoon Pattanachai bagi menyiasat misteri di sebalik jalan raya 'berpuaka' itu.

Pemeriksaan itu mendapati terdapat kebocoran bahan kimia sepanjang kira-kira 300 meter jalan tersebut yang disyaki berpunca daripada sebuah lori.

"Bahan kimia berwarna kuning itu menyebabkan jalan licin dan mengakibatkan kenderaan hilang kawalan tanpa diduga. Bahan itu juga 'memadam' beberapa tanda arah jalan," kata jurucakap lebuh raya.

Beberapa kon getah dan lampu diletakkan di atas jalan untuk memberi amaran kepada kereta supaya memandu dengan lebih berhati-hati bagi mengelakkan lebih banyak kemalangan.

Lebih banyak papan tanda amaran turut dipasang untuk menasihati orang ramai supaya mengurangkan kelajuan dan memandu dengan berhati-hati ketika hujan.

Kakitangan lebuh raya akan memeriksa permukaan jalan sekali lagi pada Jumaat bagi memastikan terdapat geseran optimum pada jalan bagi mengelakkan kenderaan hilang kawalan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram