SEORANG lelaki tergamak memukul dan memijak ibunya sendiri hanya kerana tidak diberikan wang untuk membeli minuman keras pada Ahad.
Kejadian berlaku di Andhra Pradesh, India dan tular baru-baru ini di media sosial mendapat kritikan daripada warganet yang tidak berpuas hati.
Difahamkan, suspek yang berusia 40 tahun itu yang dikenali sebagai Thalliboyina Venkanna telah ditahan pada hari sama dia melakukan tindakan kejam itu terhadap ibunya, Lakshmi.
Menurut laporan, suspek sebelum itu mengambil secara paksa duit daripada ibunya untuk membeli alkohol.
Selepas mabuk, suspek telah pulang ke rumah sebelum memukul ibunya. Anak sulung mangsa, Subba Rao kemudian telah membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Terdahulu, Lakshmi tinggal bersama Subba Rao di Yanam, India sebelum suspek tiba-tiba datang dan memukul abangnya itu.
Suspek memberitahu yang dia ingin menjaga ibunya dan mangsa kemudian terpaksa tinggal bersama anaknya itu.
Ketika tinggal bersama, mangsa terpaksa memberi wang pencennya sebanyak RM141 kepada suspek yang ketagihan alkohol.
Mangsa kemudian telah membuat keputusan untuk tidak memberikan sebarang wang kepada suspek sebelum insiden pijak itu berlaku.
Sementara itu, polis berkata, suspek akan di dakwa di bawah kesalahan cubaan membunuh. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram