
SEORANG pegawai Jabatan Perhutanan Diraja Thailand mengalami detik-detik cemas apabila seekor ular sawa besar secara tiba-tiba menyerangnya dalam sebuah bangunan pejabat di Bangkok pada Isnin lalu.
Kejadian itu dirakamkan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan ular sawa sepanjang 3.5 meter yang muncul secara tiba-tiba sebelum menyerang kaki pegawai wanita itu yang sedang berjalan ke arah lif bersama dua rakan sekerjanya.
Susulan kejadian itu, Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana menggerakkan pasukannya untuk menangkap dan menempatkan semula ular tersebut.
Pasukan penyelamat dilaporkan menemui bukan hanya seekor, malah tiga ekor ular sawa yang bersembunyi di dalam bangunan kerajaan itu.
Menurut The Thaiger, pasukan penyelamat itu melaporkan bahawa mereka menangkap dan mengeluarkan dua daripada tiga ular sawa itu.
Bagaimanapun, seekor ular lagi masih bebas dan disyaki merayap di dalam pejabat Jabatan Hutan Diraja.
Sarjan Mejar Pinyo Puckpinyayo dari jabatan bencana berkata, ular sawa sepanjang 3.5 meter itu berkemungkinan tidak makan selama beberapa hari dan itulah sebabnya ia menyerang pegawai terbabit.
Ular sawa ialah sejenis reptilia yang tidak berbisa dan membunuh mangsanya dengan cara membelit sehingga mati.
Walaupun ular sawa tidak mempunyai taring, namun haiwan itu masih mempunyai gigi dan dipercayai hanya menyerang manusia untuk mempertahankan diri.
Ular cenderung untuk menyelinap masuk ke dalam bangunan semasa musim hujan, jadi pastikan pintu dan tingkap rumah sentiasa ditutup jika tiada orang dirumah. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram