SEORANG wanita berusia 20 tahun mendakwa dia dirogol oleh lelaki yang menyamar sebagai anggota polis berpangkat Lans Koperal.
Bertindak atas maklumat, polis segera bergegas ke sebuah rumah di mukim Bang Rat Pattana, Thailand dan menemui seorang remaja perempuan dalam keadaan menangis.
Suspek, Wiraphat Thamthip, 27, yang bersembunyi di dalam tandas, kemudian menyerah diri kepada polis.
Polis turut menemukan dadah, peralatan menghisap dadah dan pistol palsu di lokasi kejadian.
Suspek memiliki rekod jenayah pada 2018 kerana menyamar sebagai anggota polis dengan menggunakan nama Sema Prajan di Facebook.
Kini dia beralih kepada aplikasi janji temu dan menggunakan taktik sama untuk mencari mangsa.
Ketika siasatan awal, suspek menafikan merogol mangsa dan memaklumkan bahawa perempuan itu yang datang ke rumahnya secara sukarela untuk bermalam di situ.
Suspek bagaimanapun mengakui dia bukan anggota polis sebaliknya hanya penjaga keselamatan.
Dakwa lelaki itu, majikannya yang meletakkan pangkat pada kad pengenalan bagi membantunya ketika bertugas.
Ketua Polis Bang Bua Thong berkata, pihaknya sedang menunggu keputusan ujian mangsa rogol itu daripada sebuah hospital.
Pihak berkuasa turut meminta mangsa lain lelaki terbabit untuk tampil ke hadapan bagi membantu siasatan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram