Kena 'prank' dengan ketua, anggota polis bersujud syukur terima hadiah umrah


  • Benua
  • Ahad, 28 Ogos 2022

Tangkap layar menunjukkan seorang anggota polis bersujud tanda kesyukuran ketika menerima hadiah umrah semasa perhimpunan di balai polis.

TULAR di laman media Facebook apabila anggota polis ini diusik oleh ketua unitnya yang menghadiahkan sekeping sampul surat berisi pakej umrah ketika dipanggil tampil ke hadapan secara tiba-tiba.

Situasi itu yang berlaku di Balai Polis Lubuklinggau, Sumatera Selatan Indonesia, menunjukkan Aipda M Niam segera bersujud tanda kesyukuran semasa perhimpunan pagi di balai itu.

Beliau yang berkhidmat di Balai Polis Lubuklinggau dikatakan keliru apabila dirinya dipanggil oleh Ketua Polis Daerah dan diberitahu akan dipindahkan ke Balai Polis Musi Rawas Utara, Indonesia.

Menurutnya ketika itu beliau hanya terfikir kesusahan yang bakal menimpa dirinya kerana tidak dapat menghantar anak ke sekolah berikutan isterinya juga merupakan seorang anggota polis.

"Saya cuma fikir macam tu sebab perjalanan agak jauh jadi awal pagi lagi saya perlu keluar rumah," katanya.

Namun, segalanya berubah apabila Ketua Polis, Harissandi meminta beliau untuk segera membuka sampul surat tersebut.

"Selepas membukanya, saya terkejut dan segera sujud syukur.

"Saya pun tak ingat di mana isteri saya berada ketika itu dan langsung tidak menyangka akan hadiah ini," katanya

Menurutnya, hadiah umrah itu akan digunakan untuk seisi keluarga dan pergi bersama isteri, ibu dan keluarga mentua. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Prank, Umrah Haji, Pegawai Polis