Tengah sedap layan kopi, pelanggan diserang lelaki bersenjata


  • Benua
  • Khamis, 25 Ogos 2022

Tangkap layar menunjukkan seorang lelaki diserang secara tiba-tiba ketika sedang minum di sebuah kedai kopi.

SEORANG lelaki cedera ringan dalam kes cubaan rompakan bersenjata ketika dia sedang melepak di sebuah kedai kopi dalam kejadian yang berlaku di Ciracas, Jakarta Timur, Indonesia.

Kejadian yang sempat dirakamkan kamera litar tertutup (CCTV) itu menunjukkan mangsa didatangi dua penunggang motosikal dan salah seorang daripadanya meluru dan mula melakukan keganasan.

Ketua Polis Daerah Ciracas, Kompol Jupriono berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan memeriksa rakaman CCTV untuk tindakan lanjut.

“Suspek merampas telefon bimbit mangsa dan kemudiannya memukul dia dengan senjata tajam sehingga meninggalkan kesan calar di lengan,” katanya.

Menurut siasatan, mangsa dilaporkan sempat menyimpan telefon bimbitnya manakala suspek pula telah melarikan diri.

“Tiada sebarang kecederaan serius dilaporkan, namun kes ini masih dalam siasatan pihak polis,” katanya.

Tambah Jupriono, beliau menjelaskan pihaknya akan menjalankan rondaan di sekitar kawasan itu agar kejadian serupa tidak berlaku lagi dan beberapa anggota sudah mula diarahkan untuk tugasan itu.

"Anggota kami menjalankan rondaan dalam pakaian rasmi dan preman serta terdapat unit gerakan khas yang saya arahkan sebagai langkah keselamatan bukan sahaja di lokasi kejadian malah di seluruh daerah Ciracas," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram