Berebut dapatkan bantuan wang tunai, puluhan ibu bapa dan pelajar cedera di sekolah menengah


  • Massa
  • Isnin, 22 Ogos 2022

Puluhan ibu bapa dan pelajar cedera akibat dirempuh ketika berebut untuk mendapatkan wang bantuan persekolahan — Agensi

HAMPIR 30 individu cedera dalam insiden rempuhan melibatkan pelajar dan ibu bapa ketika sesi penyerahan bantuan persekolahan di Zamboanga, Selatan Filipina.

Pihak berkuasa melaporkan, ketika kejadian berlaku, kira-kira 5,000 orang berkumpul di luar pusat pengagihan dekat sebuah sekolah menengah bagi menerima bantuan wang tunai tersebut.

“Apabila mereka dimaklumkan pagar sekolah akan dibuka, mereka terus merempuh masuk.

“Keadaan jalan yang curam menyebabkan mereka terjatuh beramai-ramai hingga menyebabkan kecederaan,” kata pegawai polis, Josen Samsula.

Setiausaha Kebajikan Sosial Filipina, Erwin Tulfo berkata, 29 individu sedang menerima rawatan di hospital akibat kecederaan yang dialami.

Tulfo juga memaklumkan, susulan kejadian itu, polis anti-rusuhan terpaksa dihubungi bagi membantu meredakan keadaan di lokasi kejadian.

Jumaat lalu, orang ramai sekitar Filipina mula berkumpul di pusat pengagihan seluruh negara selepas kerajaan mengumumkan bantuan untuk perbelanjaan persekolahan berjumlah 4,000 peso (RM320) kepada golongan yang layak.

Ini berikutan pengumuman kerajaan untuk memulakan semula sesi persekolahan secara bersemuka buat pertama kali sejak Mac 2020, yang menjadikan negara tersebut sebagai negara terakhir yang memulakan sesi persekolahan secara fizikal. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Sekolah menengah, Filipina, rempuh, cedera, polis