Hilang pada 2011, siapa sangka Facebook satukan Ziggy bersama 'keluarga' selepas 11 tahun


  • Benua
  • Sabtu, 20 Ogos 2022

Ziggy masih lagi manja seperti dahulu. — Agensi

SELEPAS 11 tahun hilang, seekor kucing bernama Ziggy kembali ke pangkuan 'keluarganya' setelah dia dijumpai menerusi laman Facebook.

Pemilik Ziggy, Ruth Orme, dari Hertfordshire, berasa sedih selepas kucing kesayangannya itu hilang ketika berusia satu tahun pada 2011.

Orme telah cuba pelbagai cara untuk mencari Ziggy, namun dia berputus asa apabila apa yang dilakukannya tidak membuahkan hasil.

“Satu hari pada 2011, Ziggy keluar seperti biasa dan tidak kembali. Waktu itu umurnya baru setahun. Sekarang dia telah dewasa.

"Waktu tu, kami menyiarkan risalah di seluruh bandar, keluar malam demi malam sambil menggoncang makanan dan mengikuti jejaknya tetapi kami tidak bernasib baik," katanya.

Bagaimanapun, satu keajaiban berlaku apabila dua pekerja industri yang tertarik dengan telatah Ziggy memuat naik gambarnya ke Facebook.

Ziggy hilang ketika usia dia satu tahun. Agensi

"Pada hari Ahad, bekas teman lelaki saya mendapat panggilan telefon daripada pangkalan data mikrocip mengatakan seseorang telah menemui kucing kami.

"Rupa-rupanya, dua orang lelaki telah menemui Ziggy di kawasan perindustrian Royston, kira-kira 20 minit berjalan kaki dari tempat dia hilang.

"Kehadiran Ziggy di situ menarik perhatian mereka dan gambarnya di muat naik ke halaman Facebook.

"Ditakdirkan, seorang wanita dari kumpulan penyelamat kucing datang untuk mengambilnya dan mengimbas cip mikro yang ada pada badan Ziggy.

"Dari situ, mereka menelefon kami dan memberitahu keberadaan Ziggy. Akhirnya kami bertemu dengannya semula. Ziggy tak berubah dan masih manja macam dulu," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram