Gara-gara salah 'copy paste', seorang wanita kena caj beli 84 buah rumah


  • Benua
  • Isnin, 15 Ogos 2022

Wanita menjadi pemilik keseluruhan kejiranan sebelum kesilapan tersebut diperbetulkan. — Agensi

SEORANG wanita di Amerika Syarikat menjadi pemilik sah 84 rumah di kejiranan sama selepas berlaku kesilapan 'copy and paste' dalam dokumen pembelian perumahannya.

Wanita itu pada asalnya ingin membelanjakan AS$594,481 (RM2,647,818) untuk membeli rumah idamannya, namun kesilapan itu telah menyebabkan dia dicaj sekitar AS$50 juta (RM222,225,000).

Timbalan Ketua Penilai Eashoe County, Cori Burke berkata, kesilapan itu dilakukan oleh sebuah firma hartanah yang terletak di Las Vegas bernama Westminster, Toll Brothers.

"Kami mendapati kesilapan besar melibatkan 84 rumah tersebut berpunca dari kecuaian pihak Westminster di Las Vegas ketika menjalankan urus niaga mereka.

"Mereka 'copy and paste' maklumat daripada surat urusan syarikat mereka yang lain semasa menyediakan kontrak pembelian rumah bersama wanita ini.

"Oleh kerana kesalahan yang dilakukan agak jelas dan mudah dikesan, bahagian perkhidmatan penilaian kami sudah menghubungi firma tersebut untuk mengarahkan mereka memperbetulkan kesilapan tersebut.

Proses penukaran semula hak milik kepada pemaju berjalan lancar. Agensi

Dilaporkan, pemindahan hak pemilikan rumah-rumah yang terbeli itu akan diserahkan semula kepada pihak pemaju rumah berkenaan.

Pihak Westminster juga dikatakan telah mengeluarkan notis pembetulan secara rasmi untuk diberikan kepada wanita tersebut.

Menurut Burke, pembeli yang namanya tidak didedahkan itu sebenarnya boleh membatalkan transaksi tersebut namun dia dilihat tidak berbuat demikian.

"Sekiranya wanita itu akhirnya sedar tentang kesilapan transaksi tersebut dan melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa, dia berkemungkinan akan kalah.

"Uniknya kes ini adalah jumlah yang tidak masuk akal tersebut menarik perhatian kami. Kesalahan copy dan paste ini sebenarnya bukan kesilapan terpencil dalam urusan hartanah," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram