Suami-isteri dicekup angkara penipuan barang mewah lebih RM103 juta


  • Benua
  • Sabtu, 13 Ogos 2022

Pi Jiapeng dan Siriwipa Pansuk menghadapi tuduhan konspirasi jenayah dengan melakukan penipuan dan keluar secara haram dari Singapura. — Agensi

SELEPAS lebih lima minggu melarikan diri, sepasang suami isteri dihadapkan ke mahkamah kerana didakwa terlibat dalam penipuan barangan mewah bernilai RM103 juta.

Warga Singapura, Pi Jiapeng, 26, dan isterinya, Siriwipa Pansuk yang merupakan warga Thailand, 27, menghadapi tuduhan konspirasi jenayah dengan melakukan penipuan dan keluar secara haram dari Singapura.

Kedua-dua tertuduh didakwa di mahkamah pada Jumaat, selepas 180 laporan polis dibuat terhadap mereka membabitkan penipuan dua syarikat iaitu Tradenation dan Tradeluxury.

“Pihak berkuasa Singapura akan melakukan apa sahaja yang perlu dan dibenarkan di bawah undang-undang Singapura bagi membawa mereka ke muka pengadilan.

“Kami juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap penipu,” kata polis.

Tertuduh ditahan di Malaysia sebelum diserahkan kepada polis Singapura, 11 Ogos lalu.

Sebelum itu, waran tangkap dan notis Polis Antarabangsa (Interpol) sudah dikeluarkan terhadap pasangan itu.

Jiapeng diberkas kali pertama Jun lalu kerana disyaki terlibat dalam kes penipuan.

Pasport miliknya kemudian dirampas dan kemudian dia dilepaskan dengan jaminan polis.

Pansuk juga diarahkan menyerahkan pasport miliknya ke pejabat polis dan ditahan bagi membantu siasatan.

Bagaimanapun, pasangan itu kemudian tidak dapat dihubungi dan melarikan diri dari Singapura melalui Pusat Pemeriksaan Tuas, 4 Julai lalu.

Dalam pada itu, seramai dua lelaki dituduh membantu pasangan tersebut melarikan diri dari Singapura.

Mohamad Fazli Abdul Rahman, 38 dan Mohamed Alias, 40, dihadapkan ke mahkamah daerah, awal bulan lalu.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Fazli didakwa bersubahat dengan Mohamed Alias untuk mengaturkan Jiapeng dan Pansuk bersembunyi di dalam kontena sebuah lori yang didaftarkan di Malaysia.

Mohamed Alias juga menghadapi dua pertuduhan membantu pasangan itu melarikan diri dari Singapura dengan memandu lori itu melalui Pusat Pemeriksaan Tuas, 4 Julai lalu.

Kedua-dua tertuduh yang didakwa bersubahat dengan suspek akan dihadapkan ke mahkamah semula, pada 17 Ogos. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram