SELAIN sukan badminton, bola sepak adalah antara sukan yang diminati oleh rakyat Malaysia dan mereka akan memberi sokongan serta sentiasa bersemangat untuk mengikuti perkembangan pasukan kegemaran.
Kalau salah cakap tentang pasukan kegemaran, memang boleh naik angin dibuatnya.
Sebelum ini, sukan bola sepak menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum atau bangsa terutama apabila pasukan Harimau Malaya berjaya mengalahkan pasukan Bangladesh dan melayakkan mereka ke Piala Asia 2023.
Bagaimanapun menjengah senario bola sepak tempatan, insiden tidak diingini yang berlaku dalam perlawanan di antara Perak FC dan The Red Warrior bagi Liga Premier menyebabkan keadaan huru-hara apabila penyokong kedua-dua pasukan bertindak agresif selepas Kelantan FC tewas di laman sendiri.
Tindakan segelintir penyokong lawan yang membuat provokasi terhadap penyokong tuan rumah, Kelantan dipercayai menjadi punca berlakunya kekecohan.
Sebelum ini penyokong tuan rumah mendakwa provokasi tersebut dimulakan oleh penyokong 'Casual Perak' yang membawa budaya 'hooligan' atau samseng dengan memijak bendera negeri Kelantan.
Dr. Pekan Ramli berpendapat budaya keganasan dalam bola sepak sepatutnya tidak berlaku dalam negara.
Bagi pemerhati sukan, Datuk Dr. Pekan Ramli, beliau berpendapat budaya keganasan dalam bola sepak ini sepatutnya tidak berlaku dalam negara ini.
"Budaya hooligan ini mereka suka buat provokasi, rusuhan dan pergaduhan. Jadi kadang-kadang saya pelik penyokong 'casual' ini menang dia buat kacau tak menang pun dia buat kacau.
"Jadi bagi pandangan peribadi saya, budaya hooligan ini tidak sepatutnya berlaku sebab kita bukan macam zaman dahulu yang nak baling batu semua itu," katanya pada Majoriti.
Tambahnya lagi, kesan daripada tindakan segelintir penyokong ini akan membuatkan orang ramai yang hadir ke stadium menjadi mangsa dan perkara itu boleh membuatkan mereka serik untuk menyaksikan perlawanan pasukan kegemaran.
"Jika mereka ini terus membuat onar dalam stadium, tentunya mangsa adalah penonton yang tidak berdosa. Sebab yang hadir ke stadium ini ramai di antaranya kanak-kanak, wanita, ibu bapa.
"Sekiranya golongan ini buat kacau lagi dan mereka yang hadir ke stadium ini tersepit dalam situasi itu. Ini akan menyebabkan mereka serik untuk hadir menyokong pasukan masing-masing lagi," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau turut menyarankan tiga langkah utama bagi mencegah insiden pergaduhan ini tidak berlaku di masa akan datang.
"Pertama, semua pihak bertanggunjawab harus memainkan peranan besar dengan mengambil tindakan terhadap peminat yang buat kacau dalam stadium. Pihak penganjur, kelab atau pasukan harus sentiasa beri peringatan kepada orang ramai tentang perkara ini.
"Kedua, pihak pengajur harus melakukan kawalan, maksud kawalan di sini bukan sahaja dalam stadium malah di luar stadium sehingga mereka bersurai dengan aman.
"Ketiga, penguatkuasaan yang mana bukan sahaja kawalan perlu diutamakan tetapi penguatkuasaan pintu masuk, bahan terlarang dan sebagainya. Kita tidak boleh ambil mudah tentang perkara ini nanti kesannya akan lebih parah," jelasnya.
Tindakan segelintir penyokong ini akan membuatkan orang ramai yang hadir ke stadium menjadi mangsa.
Pergaduhan tersebut menyebabkan ramai penyokong Perak FC terkandas sehingga pukul 8.30 malam di dalam stadium kerana penyokong Kelantan bertindak mengepung kawasan tersebut.
Menang atau kalah itu adat permainan dan jangan terlampau ikut perasaan sehingga menyebabkan perkara yang tidak diingini berlaku. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram