Sangkar Rasam dilantik Pengerusi PKR Sabah


  • Politik
  • Ahad, 07 Ogos 2022

Pelbagai cadangan dibuat sebelum pelantikan Sangkar, termasuk mengekalkan Christina Liew sebagai pengerusi Pakatan Sabah. — Facebook Sangkar Rasam

KETUA Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Keningau, Datuk Sangkar Rasam dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah yang baharu.

Setiausaha Pakatan Sabah, Mustapha Sakmud berkata, pelantikan itu dibuat selepas sesi perundingan yang diadakan bersama presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan semua ketua cabang pada Sabtu.

Beliau berkata, pelbagai cadangan dibuat sebelum pelantikan Sangkar, termasuk mengekalkan Datuk Christina Liew sebagai pengerusi Pakatan Sabah.

"Datuk Seri Anwar sebagai pengerusi majlis presiden Pakatan Harapan juga mengumumkan bahawa Christina akan kekal sebagai pengerusi Pakatan Sabah.

“Anwar berkata, Christina akan terus mengetuai jentera pilihan raya Pakatan negeri untuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.

“Anwar menegaskan pengerusi Pakatan itu perlu dikekalkan kerana tidak mahu proses rundingan kerusi dan pengukuhan jentera negeri terjejas menjelang PRU15,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, kerjasama kukuh antara Christina sebagai pengerusi Pakatan Sabah, Awang Husaini Sahari sebagai naib presiden PKR dan Sangkar Pengerusi PKR Sabah dijangka dapat memperkukuh jentera Pakatan Sabah bersama sekutu politiknya.

Sekutu PKR adalah termasuk DAP, UPKO dan Amanah. —The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram