Bercinta 2 tahun, Nurul Izzah pilih Shao Loong sebagai pasangan


  • Primer
  • Sabtu, 06 Ogos 2022

Majlis pernikahan antara Nurul Izzah dan Shao Loong di Kajang hanya dihadiri keluarga terdekat. — Facebook

AHLI Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar mengesahkan telah berkahwin dengan penyelidik kanan Institut Penyelidikan Khazanah, Yin Shao Loong pada Jumaat.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Nurul Izzah menjelaskan, majlis pernikahan tersebut dihadiri oleh keluarga terdekat.

"Pada petang 5 Ogos 2022, berwalikan ayahanda pengantin perempuan, (Datuk Seri Anwar Ibrahim), kami telah selamat diijabkabulkan di samping keluarga terdekat.

"Kami memohon doa kalian semua agar kita sentiasa di bawah perlindungan ALLAH SWT," katanya.

Memetik laporan The Vibes, majlis akad nikah berlangsung di kediaman keluarga itu di Bandar Sungai Long, Kajang.

Menurut sumber, pasangan itu menjalin hubungan cinta selama hampir dua tahun, namun berjaya merahsiakannya dengan hanya beberapa rakan rapat dan ahli keluarga yang mengetahuinya.

Shao Loong, 46, pernah berkhidmat sebagai pengarah komunikasi strategik di Pejabat Menteri Besar Selangor ketika Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memegang jawatan berkenaan selain pernah menjadi pengarah eksekutif Institut Pemikir PKR yang diketuai oleh Nurul Izzah.

Beliau pernah berkahwin dengan pengarah filem, Tan Chui Mui. Bagaimanapun, pasangan yang mempunyai seorang anak lelaki itu bercerai dua tahun lalu.

Nurul Izzah, 42, pula pernah mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim pada 2003 tetapi bercerai pada 15 Januari 2015.

Mereka dikurniakan dua anak iaitu seorang perempuan berusia 15 tahun manakala yang lelaki pula berusia 13 tahun.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Anggerik, Najwan Halimi menerusi ciapan di lawan Twitter turut mengucapkan tahniah di atas perkhabaran tersebut.

“Tahniah buat saudara @yinshaoloong dan YB @n_izzah yang telah selamat diijabkabul.

“Didoakan semoga kedua-duanya diberkati ALLAH dan dikurniakan kebahagiaan sehingga ke jannah,” ciapnya.

Nurul Izzah turut dihujani ucapan tahniah daripada netizen yang mendoakan jodoh pasangan itu berkekalan dan berbahagia hingga ke anak cucu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram