PEREKA grafik yang popular dengan karya satira kontroversi, Fahmi Reza mengulangi dan menegaskan pendiriannya untuk tidak bertemu dengan mana-mana individu politik, ketua kerajaan atau mereka dari kelas pemerintah bagi mengelak dirinya daripada dilihat bias atau rapat dengan mana-mana pihak.
Menerusi satu ciapan, Fahmi membuat penegasan bahawa prinsip yang dipegang sejak enam tahun lalu sebagai aktivitis bebas yang tidak memihak kepada mana-mana pemimpin atau pemerintah, masih sama.
"Kepada mereka yang baru nak follow kerja aku, yang tak faham pendirian aku, yang masih nak sebarkan fitnah kononnya aku dibayar parti DAP, PKR, PH (Pakatan Harapan) dan lain-lain, sila baca posting di bawah.
"Posting ni aku tulis empat tahun lalu semasa zaman pemerintahan PH. Sampai hari ni prinsip aku masih sama," katanya.
Biarpun menulis ciapan itu secara umum, besar kemungkinannya Fahmi menujukan mesej itu kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selepas baginda tetap menyatakan keinginan untuk bertemu aktivis dan pereka grafik tersebut.
"Sorry. Harap kita dapat jumpa. Saya suka jumpa antimonarch (antimonarki) ni semua. Interesting. Tanya @Marina_Ibrahims (Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Skudai)," ciapnya pada Rabu, petang.
Ia susulan tindakan admin media sosial TMJ yang menyekat Fahmi selepas aktivis itu menghasilkan lukisan grafik satira berkaitan TMJ.
Sementara itu, menerusi posting yang dimuat naik dalam ciapan Fahmi, dia mengulangi teguran kepada semua pemimpin, pemerintah dan ahli politik untuk tidak menyekat sesebuah lakaran satira hanya kerana ia menimbulkan kemarahan kepada mereka.
"Kritikan politik datang dalam pelbagai rupa dan bentuk. Ada yang molek, ada yang tak molek.
"Kalau kamu tak suka, kamu boleh protes, boleh demonstrasi, boleh up status dekat Facebook atau Twitter untuk ekspresikan bantahan dan kritikan kamu terhadap lukisan atau karikatur yang menaikkan kemarahan kamu itu. Tapi kami tak bolehlah nak sekat, tak bolehlah nak sensor lukisan atau karikatur tu," tulisnya.
Tulisnya lagi, hanya pemerintah autoritarian yang tidak menghormati kebebasan dan hak asasi rakyat, yang akan mengambil tindakan terhadap perkara tersebut dengan menyekat atau menggunakan undang-undang kepada rakyat yang mengkritik mereka.
"Kepada politikus dan pemerintah yang tidak menghormati kebebasan rakyat untuk berekspresi, ku hulurkan kedua-dua belah tanganku dengan ingatan tulus ikhlas dariku untukmu," katanya lagi.
Tulisan Fahmi itu pertama kali ditulis pada 21 Mei 2016 sebelum dikongsi semula pada 21 Mei 2018. Dia kemudian memuat naik tangkap layar tulisan itu pada Khamis (28 Julai 2022) dipercayai sebagai jawapan balas kepada undangan TMJ yang masih terbuka bertemunya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram