Kapal perang China dan Taiwan bersemuka, tingkat ketegangan


  • Benua
  • Ahad, 07 Ogos 2022

Kapal milik China membuat rondaan di Pulau Pingtan, wilayah Fujian, di negara itu pada 5 Ogos lalu. — Agensi

KAPAL perang China dan Taiwan memantau pergerakan masing-masing secara dekat pada Ahad, menjelang berakhirnya latihan ketenteraan China yang dijalankan selama empat hari.

Latihan tentera China itu adalah tindak balas negara tersebut, susulan lawatan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) ke Taiwan, minggu lalu.

Lawatan Nancy Pelosi ke Taiwan mencetuskan kemarahan China, yang bertindak balas dengan melancarkan ujian peluru berpandu balistik melalui ibu negara Taiwan buat pertama kali, selain memutuskan komunikasi dengan AS.

Kira-kira 10 kapal perang, masing-masing milik China dan Taiwan berlayar dalam jarak dekat di Selat Taiwan, dengan beberapa kapal China melintasi garis tengah yang memisahkan kedua-dua negara secara tidak rasmi.

Menurut sumber, ketika China memberi tekanan seperti dilakukan pada Sabtu, Taiwan mengekalkan jarak dekat untuk memantau, bagi memastikan China tidak merentas sempadan.

Kedua-dua pihak tidak bertindak berlebihan, kata sumber, dan menyifatkan pergerakan China dan Taiwan di laut lepas umpama 'kucing dan tikus'.

"Satu pihak cuba menyeberang, dan satu pihak lagi menghalang laluan dan memaksa mereka berada pada kedudukan yang tidak menguntungkan sebelum kembali ke kawasan masing-masing," katanya.

Pada masa sama, Taiwan turut meletakkan peluru berpandu antikapal di pantai dan peluru berpandu darat ke udara Patriot dalam keadaan bersiap siaga.

Kementerian Pertahanan Taiwan dalam satu kenyataan berkata, sejumlah kapal tentera China serta pesawat dan dron menjalankan simulasi serangan terhadap negara pulau itu dan tentera lautnya, sekali gus Taiwan mengerah jet pejuang dan kapalnya untuk bertindak balas 'sewajarnya'.

Latihan ketenteraan China yang berpusat di enam lokasi sekitar Taiwan yang dituntut sebagai milik China, bermula Khamis lalu dan dijadualkan berakhir tengah hari Ahad, menurut laporan Agensi Berita Xinhua minggu lalu.

Menurut tentera China pada Sabtu, latihan di laut dan udara di utara, barat daya dan timur Taiwan itu memberi fokus pada keupayaan serangan darat dan laut.

AS menyifatkan latihan itu sebagai meningkatkan ketegangan secara signifikan dalam usaha China mengubah status quo dan bersifat provokatif, tidak bertanggungjawab dan meningkatkan risiko salah perkiraan.

"Ia juga bertentangan dengan matlamat kita sejak sekian lama untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan di sepanjang Selat Taiwan, sama seperti yang diharapkan dunia," kata jurucakap White House. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram