SEPULUH remaja dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan penjara sekurang-kurangnya 124 tahun selepas membunuh seorang remaja berusia 18 tahun ketika dia berjalan pulang dari pesta ria.
Mangsa, Jack Woodley, maut ditikam selepas dikelilingi oleh sekumpulan pemuda yang mengejarnya di sebuah lorong di Houghton le Spring, Sunderland, England pada tahun lepas.
Jack ditumbuk, ditendang, dipijak dan ditikam dengan pisau jenis 'Rambo style' berukuran 25 sentimeter (cm) semasa serangan bertarikh 16 Oktober 2021 itu.
Saksi kejadian mendedahkan bahawa Jack diasingkan terlebih dahulu sebelum diserang seperti zombi menyerang mangsa oleh kumpulan remaja berkenaan.
Lebih menyayat hati, kekejaman itu dilakukan secara rawak dan malang bagi Jack, dia melalui kawasan tersebut pada waktu itu.
Jack dibunuh dengan kejam ketika pulang dari pesta ria. — Agensi
Di mahkamah, sembilan daripada 10 orang remaja tersebut mengakui tidak bersalah, sementara seorang lagi mengakui menikam tetapi tidak berniat untuk membunuh mangsa.
Hasil perbicaraan, salah seorang pembunuh yang merupakan remaja berusia 15 tahun dijatuhkan hukuman penjara selama sekurang-kurangnya 17 tahun.
Hakim Rodney Jameson QC turut menjatuhkan hukuman penjara minimum antara lapan dan 15 tahun kepada sembilan defendan lain, berumur antara 14 dan 18 tahun.
"Tiada hukuman dapat mengembalikan Jack kepada keluarga dan orang tersayangnya. Tiada hukuman juga dapat mengurangkan kesakitan yang mereka tanggung akibat kehilangan Jack.
"Memang tidak adil kerana pesalah-pesalah juvana ini akan hidup bebas dengan rekod jenayah dirahsiakan apabila selesai hukuman penjara, sedangkan Jack tidak berpeluang untuk hidup.
"Walaupun mereka ini akan dibebaskan satu hari nanti, mereka tetap akan kekal dalam pantauan pihak berkuasa sepanjang hayat mereka," katanya.
Jumlah terma minimum bagi semua defendan sekiranya ditambah berjumlah 124 tahun dan enam bulan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram