Budak 9 tahun maut telefon bimbit meletup ketika dicas


  • Benua
  • Jumaat, 05 Ogos 2022

Dedi (berbaju batik coklat dan bercermin mata) ketika menziarahi rumah Dayat dan Rinawati semasa pengebumian anak mereka. — Agensi

PASANGAN suami isteri di Kampung Kiarapayung yang terletak di Ciamis, Jabar, Indonesia tidak menduga anak sulungnya menjadi korban akibat insiden telefon bimbit meletup dalam kejadian pada Rabu lepas.

Menceritakan semula kejadian itu, ketua kampung itu, Dedi berkata, kejadian tersebut berlaku ketika mangsa yang berumur 9 tahun ditinggalkan dengan adiknya di rumah.

"Menurut keterangan bapa mangsa dikenali sebagai Dayat dia keluar bekerja ketika itu manakala isterinya, Rinawati ke warung untuk membeli lauk. Anak lelaki mereka ketika itu baru pulang dari sekolah kira-kira pukul 1.30 petang.

"Sebaik wanita itu tiba di rumah, dia mendapati kanak-kanak itu tertelungkup di atas lantai seperti sedang tidur.

hp_meledak

Telefon bimbit yang meletup dan mengorbankan seorang budak di di Kampung Kiarapayung pada Rabu lalu. — Agensi

"Dia cuba membangunkan budak itu tetapi tiada respons. Semasa membalikkan tubuh anaknya, dia terkejut melihat luka terbakar pada dada dan leher mangsa selain mendapati anaknya itu sudah tidak bernafas," katanya seperti dipetik INews.co.id pada Jumaat.

Teriakan dan tangisan Rinawati mengundang perhatian jiran tetangga yang segera datang untuk menolongnya.

Sementara itu, Dayat berkata, kejadian malang itu berlaku ketika mangsa bermain dengan telefon bimbit yang sedang dicas.

"Telefon bimbit milik isteri saya itu meletup manakala baterinya terkeluar dari badan telefon dan mungkin terkena dada anak kami.

"Pengecas telefon itu bagaimanapun masih elok jadi mungkin tidak terkena renjatan elektrik," ujarnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram