Macam 'tin sardin' sumbat 25 PATI dalam MPV, remaja 17 tahun kena cekup


  • 112
  • Rabu, 03 Ogos 2022

KEDUA-DUA suspek dipercayai mengambil kesemua PATI warga Myanmar berusia lingkungan 15 hingga 39 tahun di sekitar Rantau Panjang, Kelantan.

TINDAKAN seorang remaja 17 tahun menyumbat 25 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) umpama 'tin sardin' membawa padah apabila dia ditahan selepas gagal meloloskan diri di Jalan Selinsing, Kuala Lumpur pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, MPV mewah jenis Toyota Vellfire itu dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh unit peronda di Jalan Manjoi 3, Taman Sri Kuching, Kuala Lumpur sekitar pukul 12.05 tengah hari.

"Pihak polis mengejar MPV tersebut dan apabila sampai di Jalan Selinsing, ia melanggar sebuah motosikal yang ditunggang oleh anggota polis yang sedang mengejar kenderaan itu.

"Suspek turut melanggar tiga kenderaan orang awam semasa cuba meloloskan diri. Rakan subahat suspek berjaya melarikan diri semasa kemalangan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kenderaan tersebut menggunakan nombor pendaftaran palsu dan suspek seorang lelaki tempatan mengaku kenderaan itu disediakan oleh rakannya yang berjaya melarikan diri.

Katanya, identiti suspek yang melarikan diri sudah dikenal pasti dan usaha memburunya sedang giat dijalankan.

"Kenderaan itu tidak dilaporkan hilang di mana-mana tetapi menggunakan nombor pendaftaran palsu. Pemandu yang ditangkap tidak tahu menahu asal usul kenderaan tersebut yang mana menurutnya ia diuruskan oleh suspek yang melarikan diri," katanya.

Eng Lai berkata, kedua-dua suspek dipercayai mengambil kesemua PATI warga Myanmar berusia lingkungan 15 hingga 39 tahun di sekitar Rantau Panjang, Kelantan kira-kira pukul 3 pagi pada Selasa sebelum dibawa ke ibu negara untuk mencari kerja. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram