Lelaki bertopi diburu, serangan di tadika korbankan 3 nyawa


  • Benua
  • Rabu, 03 Ogos 2022

Serangan maut khususnya membabitkan kanak-kanak tadika dan pelajar sekolah, semakin meningkat di seluruh negara. — Agensi

TIGA orang terbunuh dan enam lagi cedera dalam serangan menggunakan pisau di sebuah tadika di wilayah Jiangxi, tenggara China.

Polis dalam kenyataan yang disiarkan di Weibo memaklumkan seorang individu yang memakai topi dan pelitup muka menyerbu masuk ke sebuah tadika di daerah Anfu kira-kira pukul 10 pagi (waktu tempatan).

Kata polis, suspek berusia 48 tahun itu masih bebas.

"Agensi keselamatan berkaitan sedang berusaha sedaya upaya memburu suspek tersebut," jelas kenyataan itu.

Satu rakaman video yang dikongsi akhbar Beijing Daily memaparkan seorang pegawai polis mengendong kanak-kanak kecil menuju ke ambulans.

e9e507dc-e927-49ac-9a37-f3f855b89812

Seorang individu yang memakai topi dan pelitup muka menyerbu masuk ke sebuah tadika di daerah Anfu kira-kira pukul 10 pagi. Agensi

Setakat ini, maklumat mengenai umur mangsa masih belum didedahkan.

Jenayah seperti ini jarang berlaku di China, yang melarang penduduknya memiliki senjata api, namun terdapat beberapa kejadian tikaman sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Kes serangan maut khususnya membabitkan kanak-kanak tadika dan pelajar sekolah, semakin meningkat di seluruh negara dan dilakukan oleh individu yang mahu membalas dendam terhadap masyarakat.

Serangan itu memaksa pihak berkuasa untuk meningkatkan keselamatan dan siasatan mengenai punca perbuatan ganas itu.

Pada April lalu, dua kanak-kanak maut dan 16 lagi cedera apabila seorang lelaki yang memiliki pisau memasuki sebuah tadika di selatan China. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram