Rezeki banjir, penduduk kampung jamah 3 Airapaima 'sesat'


  • Benua
  • Rabu, 20 Jul 2022

Penduduk Dayeuh Handap, Kampung Kota Wetan, memotong ikan Arapaima yang ditemui di Sungai Cipeujeuh selepas sungai dinaiki air, Ahad lalu. — Agensi

TIGA ekor ikan Arapaima yang ditemui ketika banjir di Sungai Cipeujeuh, Jawa Barat, Indonesia sempat menjadi santapan masyarakat setempat.

Mana tidaknya, ikan pertama yang ditemui penduduk setempat pada Sabtu lalu memiliki berat mencapai 50 kilogram dengan panjang sekitar dua meter.

Sementara itu, dua ekor lagi ikan yang saiznya lebih kurang sama ditemui penduduk pada keesokan harinya.

Ketiga-tiganya ditemukan sudah mati oleh penduduk.

Bagaimanapun, Ketua Seksyen Pusat Konservasi Sumber Asli (BKSDA) Wilayah V Garut, Dodi Arisandi, mendedahkan bahawa ikan Arapaima tersebut merupakan ikan eksotik yang berasal dari Sungai Amazon di benua Amerika dan bukannya ikan tempatan Indonesia.

Larangan ikan Arapaima di Indonesia dikenakan kerana ikan ini merupakan ikan karnivor yang boleh menjadi pemangsa kepada ikan tempatan yang mengakibatkan habitat dan ekosistem sungai boleh terganggu.

Sehubungan itu, warga negara Indonesia yang memelihara ikan Arapaima boleh dikenakan dengan sabitan jenayah sesuai dengan undang-undang negara tersebut.

"Ikan itu ikan yang berbahaya dan invasif. Ikan ini boleh mengancam kewujudan ikan asli. Jadi memang ada hukuman jenayah yang dikaitkan dengan kesalahan ini,.

"Sesiapa sahaja pemilik ikan-ikan ini, mereka telah menyalahi undang-undang. Tidak mungkin orang itu dapat kelulusan kerana ikan ini memang langsung tidak boleh dibawa masuk ke negara ini," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram