SEORANG pekerja wanita di sebuah pusat karaoke maut ditikam dalam kejadian di Jalan Pilang, Tanjungpandan, Belitung, Indonesia pada Isnin.
Mangsa, Dea Adelia, 37, meninggal dunia di tempat kejadian selepas ditikam oleh suspek dikenali sebagai Rahman Dahiri.
Selepas kejadian itu, polis Belitung berjaya menahan suspek yang juga penduduk Kampung Air Saga pada pukul 4.30 pagi, hari sama.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Belitung, Edi Purwanto, mangsa, seorang janda anak empat diketahui bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) di pusat karaoke tersebut dan mengenali suspek sejak setahun lalu.
Ketika disoal siasat polis, Rahman yang bekerja sebagai pelombong biji timah mengakui sakit hati dengan mangsa kerana tidak menghargai cinta dan pengorbanannya.
"Dia selalu merungut nak balik rumah, jadi setiap kali dapat gaji, saya selalu beri kepada bosnya untuk bayar hutang.
"Saya kasihan dengan dia, dia selalu cakap nak balik rumah," katanya ketika ditemui Bangkapos.com.
Polis Belitung berjaya menahan suspek yang juga penduduk Kampung Air Saga pada pukul 4.30 pagi, hari sama. — Agensi
Emosi Rahman yang juga duda anak tiga menjadi tidak terbendung selepas wanita tersebut yang berasal dari Garut, Indonesia itu memutuskan hubungan cinta mereka pada 17 Julai lalu.
Akhirnya Rahman mengambil keputusan untuk pergi ke tempat kerja mangsa bagi memujuk semula wanita itu agar meneruskan hubungan dengannya.
Kerana tidak mahu bertengkar di hadapan orang ramai, Rahman masuk ke dalam bilik mangsa dan ternampak sebilah pisau di bawah meja solek.
Dia dipercayai menggunakan pisau itu untuk menakut-nakutkan mangsa namun nekad menikam wanita terbabit beberapa kali selepas cintanya ditolak.
"Selepas mangsa cedera berlumuran darah, Rahman meninggalkan tempat kejadian dengan berjalan kaki sebelum singgah di rumah saudara di Jalan Kemboja.
"Suspek mengaku kepada saudaranya ada masalah tanpa mengatakan dia telah membunuh seseorang," kata polis. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram