
PENGKRITIK menggesa siasatan terhadap dakwaan salah laku kempen pilihan raya selepas Menteri Perdagangan, Zulkifli Hasan dari Parti Amanat Nasional (PAN) mengedarkan minyak masak percuma di Lampung, Indonesia.
Ketika mengedar bahan mentah itu, Zulkifli didakwa mempromosikan anak perempuannya, yang akan bertanding untuk pilihan raya tempatan 2024.
Menerusi video tular, Zulkifli dilihat meminta penerima bungkusan Minyakita untuk mengundi anak perempuannya.
Menteri itu juga membayangkan bahawa, beliau akan terus mengadakan program amal yang sama bagi menarik sokongan pengundi untuk anak perempuannya.
Beliau mengagihkan minyak masak percuma ketika program bantuan komuniti PAN di wilayah Bandar Lampung, di Lampung pada Sabtu.
Anak perempuan sulung Zulkifli, Futri Zulya Savitri, adalah calon PAN yang mewakili daerah Lampung.
Seorang penganalisis politik dari Lingkaran Beradab Indonesia (Lima), Ray Rangkuti menggesa Badan Pengawas Pilihan Raya (Bawaslu) untuk menyiasat kejadian itu.
"Memandangkan ini melibatkan pelawaan (untuk mengundi calon tertentu) berkaitan pilihan raya, Bawaslu perlu meneliti sama ada terdapat sebarang pelanggaran (dalam kejadian itu)," kata Ray.
Penganalisis itu berkata, Bawaslu juga perlu menyiasat sama ada terdapat pelanggaran kempen di luar tempoh yang ditetapkan.
"Kedua, sama ada berlaku pembelian undi," katanya.
Sementara itu, Presiden Joko Widodo atau Jokowi bertindak menegur perbuatan Zulkifli dengan menasihati beliau supaya menumpukan tugas utama, dengan menurunkan harga pasaran minyak masak seperti yang disasarkan kerajaan iaitu Rp 14,000 (RM4) seliter atau lebih rendah.
Pada 6 Julai, Zulkifli melakukan campur tangan pasaran dengan menetapkan harga runcit bagi minyak masak Minyakita sebanyak Rp 14,000 (RM4) seliter, bagi jualan di pasar raya dan platform e-dagang.
Selain itu, penganalisis politik Universiti Paramadina, Khoirul Umam menyifatkan menteri itu sebagai tidak beretika dan tidak sensitif sebagai penjawat awam.
"Menteri sepatutnya menumpukan usaha membasmi mafia minyak masak yang campur tangan tentang harga dan stok, bukannya sibuk dengan kepentingan politik anak-anaknya," kata Umam.
Tambahnya, Zulkifli juga gagal membezakan kepentingan swasta dan kuasa awam, selain gagal memahami penderitaan rakyat akibat inflasi serta harga komiditi yang kian melonjak. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram