
TINDAKAN seorang lelaki dengan huruf awalannya NM, 62, yang mengaku sebagai dewa mula merisaukan dan mengganggu ketenteraman penduduk di sekitar Bayah, daerah Lebak, Banten, Jawa, Indonesia.
Difahamkan, lelaki berkenaan juga mendakwa bahawa dirinya sudah bersatu Tuhan dan disebabkan itu dia terpilih sebagai Dewa Matahari.
“Maklumat awal mengenai perkara ini, kami sudah maklum pada 27 Jun lalu. Namun sehingga kini, tiada sebarang aktiviti yang mencurigakan dilakukan oleh lelaki itu,” kata ketua daerah, Khaerudin.
Malah, pihak daerah juga sudah selesai mendapat kenyataan penduduk dan beberapa maklumat yang diperolehi adalah serasi dengan keterangan NM.
Memetik laman Detiknews, Khaerudin berkata, penduduk mendakwa bahawa NM melarang mereka untuk mendirikan solat dan dihalang daripada mengikut ajaran Nabi Muhammad.
Baru-baru ini polis telah mengambil tindakan terhadap NM, yang mendakwa sebagai Dewa Matahari.
Lelaki itu kini berurusan dengan polis berhubung kes menghina agama dan sehingga kini Polis Lebak masih menjalankan siasatan.
Menurut pihak polis, NM mengalami kesukaran dalam menjawab persoalan yang diberikan dan dia disyaki mengalami gangguan mental.
“Kami masih menyiasatnya,” kata Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Lebak, AKP Indik Rusmono. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram