Tipu 20 peniaga, suri rumah tawar minyak masak murah ubah suai rumah guna wang lebih setengah juta


  • Benua
  • Rabu, 13 Jul 2022

Minyak masak pelbagai jenama berderet di rak salah sebuah peruncit moden di Kota Makassar, Sulawesi Selatan.

SEORANG suri rumah di Jawa Barat, Indonesia telah berjaya menipu seramai 20 peniaga dengan menawarkan harga minyak murah sehingga menyebabkan sejumlah kerugian mencecah Rp 1.9 bilion (RM 562,638).

Ketua Polis Daerah, Penolong Pesuruhjaya Wirdhanto Wicaksono berkata, wanita berusia 31 tahun tersebut menawarkan minyak masak dengan harga rendah kepada peniaga di Pasar Pameungpeuk dan beberapa daerah lain di Jawa Barat.

Menurutnya, suspek yang hanya dikenali sebagai NW telah melakukan perbuatannya sejak Mac 2022 sehingga Jun 2022.

Modus operandi yang diguna pakai oleh NW adalah dengan menjanjikan kepada peniaga harga minyak masak murah dengan jumlah yang banyak.

Bagi mendapatkan keyakinan dari peniaga yang pada mulanya sangsi dan membeli dengan jumlah sedikit, NW mengagihkan minyak seperti dijanjikan.

Setelah yakin dengan proses perniagaan NW, peniaga mula memesan dengan jumlah banyak lalu meletakkan deposit minimum Rp 50 juta (RM14,749) dan maksimum Rp 300 juta (RM88,837.67).

"Pada awalnya, NW menjalankan perniagaan dengan baik dan memberi minyak yang dipesan. Ini yang menyebabkan mangsa teruja untuk membuat tempahan dengan jumlah banyak.

"Tapi selepas mangsa-mangsa ini membuat pembelian secara besar-besaran, NW terus menghilangkan diri. Dia melakukan jenayah ini sendirian," katanya.

Tambah Wirdhanto, wang penipuan itu digunakan NW untuk memenuhi keperluan peribadi seperti renovasi rumah, bayar hutang dan pembelian kereta baru.

Suspek akhirnya berjaya ditahan Unit Siasatan Jenayah Polis Garut di kawasan Kota Depok, Jawa Barat. Pada masa ini, suspek NW telah ditahan.

Atas perbuatannya itu, NW didakwa dengan Perkara 372 dan 378 bersempena Perkara 65 Kanun Jenayah dengan hukuman penjara 4 tahun.Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Minyak masak, tipu, peniaga, Jawa Barat, Indonesia