SEORANG lelaki bertindak membunuh ibunya menggunakan parang hanya kerana tiada makanan di rumah berlaku di Kupang, Indonesia pada Selasa.
Jurucakap Polis Indonesia berkata, pada mulanya suspek yang dikenali sebagai Thimotius Nomlen berasa lapar selepas baru bangun dari tidur yang mana kemudian dia pergi ke dapur untuk mencari makanan.
"Tetapi suspek tidak menemui sebarang makanan di dalam rumah, sehingga membuatkan dia berasa marah,” kata jurucakap polis.
Nomlen kemudian menghampiri mangsa yang juga ibu kandungnya dikenali sebagai Sufia Kebkole terus bertindak menyerang wanita itu yang sedang tidur di dapur dengan mencekik lehernya menggunakan kedua-dua belah tangan.
"Tindakan itu membuatkan mangsa menjerit meminta pertolongan, sebelum suspek bertindak menutup mulut ibu kandungnya itu menggunakan langsir," ujarnya.
Selepas itu, Nomlen menikam mangsa menggunakan parang yang berada di kawasan berdekatan sebanyak dua kali di dada mangsa.
Kemudian suspek meletakkan mangsa ke ruang tamu sebelum Sufia meninggal dunia dipercayai akibat kehilangan banyak darah.
Selepas kejadian itu, suspek berjalan menuju ke rumah bapa saudaranya yang tidak jauh dari rumahnya.
"Setibanya di rumah bapa saudara, suspek diberikan makan dan selepas itu dia terus tidur," jelasnya.
Selepas terjaga dari tidur, suspek tidak bercakap banyak terus menunjuk ke arah rumah ibu bapanya.
Bapa saudaranya dan beberapa ahli keluarga yang lain bergegas ke rumah ibu bapa pelaku dan mereka terkejut apabila melihat mangsa meninggal dunia dengan kesan tikaman di bahagian dada.
Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram