KEBANGKITAN pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA) dalam melayakkan diri ke pusingan separuh akhir Zon Asia Tenggara selepas menewaskan Visakha FC 5-1 pada aksi terakhir saingan kumpulan G Piala AFC 2022 pada Khamis harus mendapat pujian orang ramai.
Kedah yang sebelum ini tumbang 0-2 di tangan Bali United dalam aksi pertama Kumpulan G dilihat berada pada kedudukan sukar untuk melepasi saingan itu biarpun berjaya merakamkan kemenangan 4-1 ke atas Kaya FC.
Corak permainan Kedah ketika bertemu Visakha begitu menarik sehingga mampu menghasilkan lima jaringan gol hasil kerjasama kombinasi antara pemain import baharu dan pemain-pemain yang lain.
Kali terakhir pasukan Kedah mempunyai pemain yang mampu menghasilkan kombinasi permainan tengah yang baik adalah ketika mempunyai Liridon Krasniqi dan Sandro Da Silva pada musim 2019.
Liridon dan Sandro membentuk gandingan tengah yang baik sehingga berjaya membantu pasukan Kedah menjuarai Piala Malaysia 2016. — Agensi
Ketika itu, Liridon dan Sandro tidak keterlaluan rasanya untuk mengatakan, Kedah adalah Liridon dan Liridon adalah Kedah pada saat itu. "It’s your legend Matdon speaking," bak kata Liridon kepada para penyokong Kedah.
Dia mungkin tidak sehebat pemain import sebelum eranya, namun penyokong tidak boleh menafikan sumbangan pentingnya. Liridon adalah tunjang falsafah bola sepak ala-ala tiki taka oleh bekas ketua jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe dengan peranan box to box dengan berkesannya.
Manakala, Sandro yang memiliki sentuhan jaringan pula kemudian berjaya digubah daripada pemain tengah menyerang kepada penyerang di saat Kedah kehilangan sentuhan ’emas’ Ken Ilso pada musim itu.
Di Facebook seorang penyokong bola sepak, Don K-Rul Izham berkongsi tentang dua pemain import yang bekerja keras dalam menjayakan taktikal pasukan Kedah ketika bertemu pasukan lawan di dalam Piala AFC 2022.
Sanrawat menyertai pasukan Kedah ketika jendela perpindahan kedua dibuka pada bulan Mei. — Facebook
Pemain tersebut adalah Sanrawat Dechtmir dan Dechi Marcel yang baru saja menyertai Kedah pada musim ini.
"Sanrawat dan Dechi berjaya hidupkan enjin pasukan Kedah, Dechi mencatat 149 ketepatan hantaran dari 162 keseluruhan hantaran setakat April lalu. Pada musim lepas Dechi merupakan top 3 good passer dengan catatan 1735 jumlah hantaran dalam Liga Super.
"Manakala Sanrawat, pemain berusia 32 tahun ini baru beraksi tiga perlawanan setakat ini. Menerusi catitan Opta versi Thailand, kita dapat lihat sedikit sebanyak statistik Sanrawat ketika Kedah menewaskan Visakha FC baru-baru ini.
"Dia mencatatkan 93% jumlah ketepatan hantaran, 96 sentuhan diposisi midfield, 78 hantaran yang berjaya dilakukan. Pemain ini memiliki vision yang baik. Dia jenis cepat melakukan ball recoveries, dan ada kreativiti dalam menukar arah serangan," tulisnya.
Azraai memuji kualiti yang ada pada Dechi Marcel dan Sanrawat ketika mengemudi jentera tengah pasukan Kedah. — Facebook
Bekas ketua jurulatih Kedah, Azraai Khor Abdullah berkata, Dechi Marcel dan Sanrawat merupakan pemain tengah yang rajin serta mempunyai kualiti yang bagus dalam mengawal bahagian tengah.
"Pemain Thailand, Sanrawat mempuyai skil kemahiran yang bagus. Sudah lama pasukan Kedah tidak mempunyai pemain yang boleh menghantar bola tepat ke kaki rakan pasukan yang lain, kali terakhir zaman saya ketika itu Nelson San Martín.
"Dechi Marcel pula dia mempunyai work rate yang sangat tinggi, dia juga mempunyai hantaran bola yang baik. Kelebihan Marcel ini ialah dia selalu turun dan naik untuk bantu rakan di bahagian tengah.
"Kehadiran dua tonggak ini memang bagus membantu melancarkan taktikal yang sudah dirangka Aidil, tambah lagi dengan kehadiran Fayadh Zulkifli yang mana kita lihat sudah mula serasi dengan Ronald Ngah," katanya kepada Majoriti.
Di peringkat separuh akhir nanti, Kedah akan bertemu pasukan dari Indonesia, PSM Makassar pada 9 Ogos ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram