Gemar cucur udang, gadis kacukan Melayu-Tionghua himpun resipi street food Penang


Dayana (kiri) kini giat mempromosikan makanan Malaysia termasuk juadah lor bak (kanan) yang terkenal sebagai makanan jalanan di Pulau Pinang. — Penang Makan

KERINDUANNYA terhadap makanan Malaysia sepanjang mengikuti pengajian di luar negara namun kecewa dengan apa yang ditemukan telah membakar semangat Nur Dayana Wong untuk mengumpul dan membukukan resipi kudapan kegemarannya berjudul 'Penang Makan'.

Lebih membanggakan, usaha sulung wanita berusia 32 tahun itu berjaya memikat hati para juri 27th Gourmand Awards di Sweden awal bulan ini yang menobatkan buku masakannya sebagai pemenang kategori makanan jalanan.

Ia mengatasi pengolah resipi antaranya institut kulinari China, Future Food Studio menerusi 'Shanghai Jianbing Street Food', 'Comida Callejera Guatemal', 'Bak Fritay' (Haiti) dan 'My Street Food Kitchen' dari United Kingdom (UK).

Berkongsi kisah perjalanan buku itu, anak jati Pulau Pinang tersebut berkata, dia mula mengumpul resipi selepas menamatkan pengajian Sarjana Sains dalam Perniagaan Antarabangsa di Hult Business School di London.

"Boleh dikatakan menulis buku ini adalah impian saya sejak kecil dan minat itu semakin membara semasa belajar di London kerana amat sukar untuk dapatkan buku resipi makanan Pulau Pinang sebenar di sana,” katanya.

Anak kepada pasangan Melayu-Tionghua, Hayati Ismail dan Azman Wong Abdullah itu menyifatkan minatnya terhadap makanan dipupuk oleh ibu bapanya, terutama emak yang mengajarnya memasak sejak kecil.

Malah kata Dayana, antara kenangan terindahnya ketika remaja berkisar sekitar aktiviti memasak dan makan bersama-sama keluarga dan orang tersayang.

dayana

Buku masakan Dayana dinobatkan sebagai pemenang kategori makanan jalanan di 27th Gourmand Awards. — Bernama

Olah bahan

Bercerita lanjut, wanita itu berkata, sejurus tamat pengajian di UK pada 2017, dia kembali ke Pulau Mutiara dan bekerja dengan sebuah syarikat sebelum berhenti pada 2019 untuk membantu perniagaan keluarga.

"Saya mula berkunjung ke gerai-gerai kegemaran saya. Saya tidak minta resipi daripada mereka, sebaliknya saya makan dan cuba kenal pasti bahan yang digunakan dalam masakan itu,” ujarnya.

Menurutnya, dia kemudian mengolah semula makanan tersebut berdasarkan pengetahuannya tentang bahan masakan.

"Kemudian pandemik menular dan saya manfaatkan tempoh ini untuk terus mengumpul serta mencuba resipi yang diperoleh dengan bantuan ibu,” jelasnya sambil menambah, resipi yang menepati seleranya akan direkodkan untuk dihimpun bersama-sama resipi lain.

Dayana yang juga berkelulusan sarjana muda dalam bidang ekonomi daripada University of Toronto, Kanada berkata, pada November 2021, usaha tanpa jemunya direalisasikan menerusi 'Penang Makan' yang mengandungi lebih 50 resipi kudapan kegemarannya dan kebanyakan rakyat Malaysia.

resep-cucur-udang_43

Juadah cucur udang antara resipi dalam 'Penang Makan' yang paling mudah disediakan. — Google

Cucur udang

Resipi pertama yang diolah Dayana adalah cucur udang yang merupakan makanan kegemarannya.

Menurut wanita itu, kudapan minum petang yang lazimnya dijual oleh penjaja di tepi-tepi jalan di Pulau Pinang itu boleh ditemukan dalam tiga versi, iaitu Melayu, Cina dan India.

"Cucur udang ini ringkas sahaja, namun mampu membawa saya kembali ke zaman kanak-kanak, iaitu ketika saya berusia kira-kira empat tahun bersama-sama nenek dan datuk sebelah ibu. Nenek selalunya menyediakan cucur udang untuk minum petang.

"Selepas datuk selesai beriadah di kebun, kami akan menikmati minum petang. Atuk akan asingkan udang dan beri kepada saya, dan dia hanya makan cucur kosong.

"Pada masa itu, saya rasa sangat disayangi dan menjadi antara kenangan yang tidak dapat saya lupakan,” ujarnya sambil menambah setiap kali menjamah cucur udang, dia teringatkan arwah datuknya.

Menyifatkan cucur udang sebagai antara resipi dalam 'Penang Makan' yang paling mudah disediakan, Dayana berkata, snek tersebut masih disediakan oleh ibunya setiap kali dia pulang dari luar negara.

"Sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam rumah, saya dapat bau cucur udang,” katanya yang mengakui hingga kini akan teringatkan kampung halaman setiap kali tercium aroma cucur udang.

Bercerita tentang variasi cucur udang, menurut Dayana, cucur udang versi Melayu berbentuk bulat dan rangup di bahagian tepi namun lembut di dalam.

"Udang pula masih berkulit, sama ada diletak seekor atau dicencang sebelum dicampur dalam adunan dan digoreng celur. Versi Cina atau Peranakan pula adalah seperti wafer rangup dengan udang yang dibuang kulit diletakkan di atas cucur.

"Versi India atau mamak biasanya diletak di dalam pasembur, berbentuk segi empat panjang dan mengandungi hirisan bawang dan daun bawang, sementara udang juga tidak dibuang kulit,” jelasnya.

dayana2

Dayana gemar menonton rancangan masakan cef selebriti terkenal. — Bernama

Program masakan

Ditanya sama ada dia berminat untuk terlibat dalam program masakan bagi mempromosikan makanan Malaysia kepada dunia, Dayana berkata dia mempunyai impian untuk menyertai program sedemikian, khususnya yang mempromosi makanan etnik di Malaysia.

"Saya membesar menonton rancangan masakan, sudah tentu saya gembira jika ditawarkan program seperti itu, namun setakat ini belum ada rezeki,” katanya,

Tambahnya, dia gemar menonton rancangan masakan cef selebriti terkenal seperti kelolaan Chef Wan, Denise Keller, Nigella Lawson dan Anthony Bourdain.

Menggambarkan dirinya sebagai penggemar masakan rumah yang mahu memelihara warisan dan legasi Pulau Pinang, Dayana berkata, buat masa ini, dia sedang mempromosikan makanan Malaysia di Belgium dengan kerjasama Duta Malaysia ke Belgium, Datuk Ahmad Rozian Abd Ghani selain terlibat program promosi di Eropah bersama-sama Majlis Minyak Sawit Malaysia.

"Kami berterima kasih atas sokongan dan galakan yang diterima untuk mempromosikan warisan budaya Malaysia ini. Selepas ini bolehlah kita anjurkan acara sebegini dan dapatkan pengedar yang boleh memasarkan buku masakan kita ke seluruh dunia,” katanya.

Wong's book is over 150 pages and pays homage to her favourite street foods like nasi kandar (pictured here). - PENANG MAKAN

Hidangan nasi kandar adalah sebahagian daripada lebih 50 resipi yang diketengahkan dalam buku masakan sulung Dayana. — Penang Makan

Makanan zahirkan rasa sayang

"Saya mahu orang ramai terus memasak cara tradisional tidak kira di mana mereka berada. Pendek kata, walaupun kita kini gunakan perkakas moden, pada asasnya (dengan berpandukan resipi) kita masih memasak tanpa guna perencah segera,” jelasnya.

Melalui buku masakannya, Dayana berkata, generasi muda boleh belajar tentang ramuan dalam masakan, mengenali lengkuas, belacan dan gula melaka.

"Rasa cinta saya terhadap makanan Pulau Pinang dizahirkan dalam buku ini. Kalaulah buku seperti ini ada semasa saya belajar di luar negara, (maka terubatlah rindu saya kepada makanan Malaysia),” ujarnya.

Mengenai kemenangannya, wanita itu berkata, dia berasa bangga dengan pencapaian tersebut memandangkan saingannya bukan calang-calang.

"Kemenangan ini meningkatkan keyakinan saya bahawa buku masakan saya dan juga makanan Malaysia setanding dengan juadah negara lain,” tambahnya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram