Tajuddin liabiliti sebenar Umno — Nur Jazlan


  • Politik
  • Selasa, 28 Jun 2022

Nur Jazlan turut mengucapkan selamat maju jaya kepada Tajuddin sebagai duta Malaysia ke Indonesia.

SIDANG media yang dilakukan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman membuktikan bahawa beliau adalah adalah liabiliti kepada parti dan bukannya Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kata Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Timbalan Pengerusi Umno Johor itu mempersoalkan dakwaan ahli parlimen Pasir Salak dan bekas Ahli Majlis Tertinggi itu bahawa 130 Ketua Bahagian tidak menyokong Ahmad Zahid.

“Tiada usul daripada mana-mana bahagian di seluruh negara yang mahu Ahmad Zahid berundur sebagai presiden parti.

“Malah Umno, di bawah pimpinan Ahmad Zahid, berjaya melaksanakan mesyuarat agung tahunan (AGM) malah mesyuarat agung luar biasa (EGM) tanpa mana-mana bahagian menggesa supaya beliau berundur,” kata Nur Jazlan kepada The Star di Johor Bahru, Johor pada Selasa.

Beliau mengingatkan pengkritik Ahmad Zahid yang berada dalam parti supaya menghormati keputusan yang dibuat semasa AGM dan EGM kerana ia datang dari akar umbi Umno.

Dalam pada itu, Nur Jazlan turut mengucapkan selamat maju jaya kepada Tajuddin dalam usaha seterusnya sebagai duta Malaysia ke Indonesia.

“Saya berharap dan berdoa agar hubungan Malaysia dan Indonesia akan terus berkembang maju berikutan pelantikan beliau sebagai duta Malaysia di sana,” katanya.

Dalam sidang media pada Isnin, Tajuddin mendakwa terdapat gerakan yang diketuai oleh Datuk Seri Mohamad Hasan dan Datuk Seri Najib Razak untuk menekan Ahmad Zahid supaya meletakkan jawatan sebagai presiden parti.

Tajuddin mendakwa, rancangan itu adalah untuk mengumpul tandatangan daripada ketua bahagian untuk memorandum mendesak peletakan jawatan Ahmad Zahid, dan kajian awal dalaman parti menunjukkan bahawa langkah itu disokong oleh 130 daripada 191 Ketua Bahagian Umno.

Beliau berkata, rancangan itu dibuat dalam mesyuarat di rumahnya pada Mei 2020 namun Tajuddin tidak memberikan tarikh spesifik berhubung perkara itu.

“Tujuan mesyuarat ini adalah untuk merangka memorandum untuk mendesak Ahmad Zahid meletakkan jawatan (sebagai presiden parti) demi kepentingan Umno.

“Jadi, kita bersetuju pada mesyuarat ini bahawa kita perlu merangka memorandum ini... Tok Mat memimpin dan kemudian ‘Bossku’,” katanya yang merujuk kepada nama samaran masing-masing iaitu Datuk Seri Mohamad Hasan dan Datuk Seri Mohammad Najib

Selain Mohamad dan Najib, Tajuddin mendakwa, pertemuan di rumahnya itu turut dihadiri beberapa pemimpin terkemuka termasuk Naib Presiden parti, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Tajuddin juga menunjukkan kepada pemberita sebuah gambar yang kononnya diambil sewaktu mesyuarat sulit itu sambil mendedahkan nama 130 Ketua Bahagian yang menyokong Ahmad Zahid meletak jawatan.

“Terdapat kira-kira 18 Ketua Bahagian di Perak dan 18 di Selangor yang menyokong perkara ini. Jika ada keperluan untuk menunjukkan senarai, saya boleh melakukannya.

"Tetapi tidak perlu ditunjukkan kerana saya melindungi rakan saya," kata Tajuddin.

Bagaimanapun, beliau mendakwa rancangan untuk menyerahkan memorandum itu kepada Ahmad Zahid gagal apabila Mohamad tiba-tiba berundur selepas Timbalan Presiden Umno itu diancam oleh “budak-budak Zahid”. —The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram