
SEORANG duda berusia 46 tahun maut terjatuh dari tingkat empat sebuah pangsapuri di Bemban, Jasin, Melaka ketika cuba melarikan diri daripada suami kekasihnya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Mispani Hamdan berkata, dalam kejadian 11.47 pagi pada Ahad (26 Jun), mangsa yang juga seorang peniaga cuba berpaut pada dawai ampaian untuk melarikan diri sebaik menyedari suami wanita itu pulang, namun terjatuh dan meninggal dunia.
“Lelaki dari Selandar, Jasin itu dipercayai mengikat tali dawai ampaian di besi palang di bahagian koridor untuk berpaut turun.
“Wanita berusia 37 tahun yang menyaksikannya si mati melarikan diri terdengar bunyi kuat sebelum menyedari lelaki itu terjatuh,” katanya pada Ahad (26 Jun).
Beliau berkata, tiga anak wanita itu berada di rumah ketika mangsa memasuki rumah semasa ketiadaan suaminya.
Tambahnya, mangsa ke rumah wanita terbabit untuk bermalam dan tidak sempat keluar pada keesokan harinya kerana suami wanita berkenaan pulang sebelum mengunci jeriji depan rumah.
"Suaminya tiba-tiba pulang ke rumah pada pukul 10.30 pagi Ahad.
"Dia mengesyaki seseorang berada di dalam sebelum mengunci jeriji hadapan apartmennya," katanya.
Beliau berkata, suami wanita itu kemudian memaklumkan polis bahawa seseorang menceroboh masuk ke dalam rumahnya sebelum kejadian itu berlaku.
“Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Jasin untuk bedah siasat,” katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram