POLIS menahan seorang lelaki berusia 58 tahun setelah dia dipercayai menyerang seorang lelaki, 62, dan seorang wanita, 41, dengan menggunakan pisau di Blok 510A Yishun Street 51, Singapura, pada Khamis (23 Jun).
Pihak berkuasa dimaklumkan tentang kes tersebut pada 8.30 malam dan suspek diberkas kerana sengaja menyebabkan kecederaan teruk dan dipercayai terbabit dalam kesalahan berhubung dadah.
Demikian menurut polis dalam satu kenyataan pada Jumaat (24 Jun) seperti dilaporkan The Straits Times.
"Kedua-dua mangsa dibawa ke hospital dalam keadaan sedarkan diri," tambah polis.
Satu rakaman video insiden kelar di Blok 510A Yishun, yang dimuat naik ke akaun Facebook Singapore Incidents menunjukkan beberapa kereta polis dan sebuah ambulans di sebuah tempat letak kereta terbuka di luar blok berkenaan di Yishun.
Beberapa individu dilihat berada di bawah blok itu. Siren kecemasan kedengaran sepanjang video tersebut.
"Serangan itu dipercayai berlaku akibat pertelingkahan antara kedua-dua lelaki yang mengenali satu sama lain," kata polis.
Tompok darah kelihatan pada pagar rumah mangsa di Blok 510A Yishun. — Agensi
Apabila The Straits Times melawat lokasi kejadian pada petang Jumaat, tompokan gelap dipercayai darah kelihatan di laluan lobi lif ke pintu unit rumah sewa di mana jiran mendakwa, mangsa tinggal di situ pada akhir tahun lalu.
Unit itu dikunci dan tiada orang yang membuka pintu ketika diketuk. Difahamkan, mangsa wanita dipercayai berasal dari Filipina.
Seorang saksi, Fadilah Mazlan, 30, mendakwa suspek datang ke rumah mangsa dan mengugut pasangan tersebut dengan pisau.
Menurutnya, suspek bagaimanapun beredar selepas mangsa memberi amaran akan menghubungi polis.
Seorang lagi saksi yang enggan dikenali mendakwa, dia ternampak mangsa yang berlumuran darah menangis meminta tolong di koridor.
Dia dan ibunya kemudian menemani mangsa ke bawah untuk menunggu ambulans selepas suspek ditahan polis.
Seorang lagi saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Nuraq, 22, berkata, dia melihat suspek dan seorang wanita bergelut di lobi lif.
"Lelaki terbabit cuba menarik mangsa masuk ke dalam lif tetapi apabila ternampak saya, dia segera menutup pintu lif," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram