
PEMERINTAH Taiwan mengancam untuk mengheret Beijing ke Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) selepas China mendakwa mengesan penggunaan bahan kimia terlarang dan menghentikan import ikan kerapu dari pulau itu.
Ugutan terbaharu Taiwan itu merupakan ketegangan terkini antara kedua-dua negara melibatkan isu pertanian dan penternakan.
Tahun lalu, China menggantung pengimportan buah nanas, buah nona dan buah jambu air dari Taiwan, dengan memberi alasan mengesan serangga perosak. Taiwan bagaimanapun menafikan dakwaan itu.
Hubungan antara Taipei dan Beijing tegang sejak berdekad-dekad lalu, lebih-lebih lagi apabila China meningkatkan tekanan politik dan ketenteraan hanya untuk membuatkan rakyat Taiwan benar-benar menerima hakikat bahawa negara kepulauan itu berada di bawah kuasa pemerintahan China.
Penguat kuasa jabatan kastam China pada Jumaat berkata, pihaknya sudah beberapa kali mengesan unsur bahan kimia terlarang dalam bekalan ikan kerapu dari Taiwan dan akan menggantung aktiviti import haiwan itu bermula Isnin.
Langkah itu dibuat dengan alasan untuk ‘mencegah risiko dan melindungi kesihatan dan nyawa pengguna’.
Menteri Pertanian Taiwan, Chen Chi-chung menafikan dakwaan itu sekeras-kerasnya, dan menegaskan bahawa bekalan ikan berkenaan tidak bermasalah, serta sedia memberikan data kepada China.
Sekiranya China tidak memberi maklum balas berhubung isu itu, maka Taiwan tidak akan teragak-agak membawa isu berkenaan ke WTO, katanya.
Jurucakap Kabinet China, Lo Ping-cheng berkata, Beijing sudah berulang kali memboikot dan menyekat produk agrikultur dan akuatik dari Taiwan, yang dilihat tidak selari dengan amalan antarabangsa.
Ia bukan sahaja mencalarkan hubungan Taiwan dan China, malah membuatkan rakyat Taiwan semakin benci pada pihak berkuasa Parti Komunis China kerana penindasan ke atas Taiwan.
Dalam perkembangan lain, China bertegas untuk berjuang habis-habisan bagi memastikan Taiwan tidak meneruskan usaha mengisytihar kebebasan wilayah pentadbirannya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram