Punca kanak-kanak Malaysia maut tercampak roller coaster di Australia didedah


  • Benua
  • Jumaat, 10 Jun 2022

Leong maut selepas tercampak daripada kerusi roller coaster dan terpelanting ke udara sebelum jatuh ke tanah. — Agensi

KEMATIAN kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang tercampak semasa menaiki roller coaster Airmaxx 360 di karnival tahunan, Royal Adelaide Show di Australia Selatan dikatakan berpunca daripada kecuaian kakitangan bertugas yang mengabaikan arahan keselamatan.

Mangsa, Adelene Leong seorang warganegara Malaysia pergi ke karnival itu semasa bercuti bersama ibunya pada 2014.

Semasa menaiki Airmaxx 360, dia tercampak daripada kerusinya dan terpelanting ke udara sebelum jatuh ke tanah yang disaksikan oleh ibunya dan beberapa saksi.

Airmaxx 360 merupakan antara tarikan di taman hiburan iaitu roller coaster dengan kelajuan pantas dan kerusinya boleh berpusing.

Airmaxx 360 itu bergerak pada kelajuan sekurang-kurangnya 100km per jam ketika Leong terpelanting keluar daripada permainan itu.

Sebelum tercampak keluar, Leong difahamkan tergantung dari tempat duduknya secara terbalik kerana buku lalinya tersangkut pada penghadang kerusi.

Dia meninggal dunia akibat pelbagai kecederaan.

leong 2

Leong mengunjungi karnival berkenaan bersama ibunya pada 2014. — Agensi

Menerusi siasatan pada 8 Jun 2022, Timbalan Koroner Negeri, Ian White berkata, kematian Leong boleh dicegah sekiranya pengendali permainan tersebut mematuhi keperluan ketinggian pengeluar permainan itu.

Airmaxx 360 telah menjadi permainan taman tema yang pertama seumpamanya diimport ke Australia ketika itu, tetapi tidak menjalani proses pendaftaran reka bentuk yang ditetapkan.

Roller Coaster itu dibeli oleh pengendali industri hiburan, Jenny-Lee Sullivan dan suaminya Clinton Watkins, yang tidak lama kemudian mendapati diri mereka mengalami tekanan kewangan selepas meminjam lebih daripada AUD$1 juta (RM3.14 juta) untuk pembelian itu.

Permainan itu dilaporkan mengenakan syarat ketinggian minimum 120 sentimeter (sm) untuk penunggang walaupun pengeluar tunggangan mengesyorkan had ketinggian 140sm.

White menyatakan bahawa pemilik berkemungkinan sengaja menyembunyikan maklumat tersebut daripada pihak berkuasa yang berkaitan, untuk memperluaskan kelayakan pelanggan menaiki Airmaxx 360.

Leong mempunyai tinggi 137sm pada masa kematiannya.

Menurut White lagi, kematian Leong pada hari itu dianggap 'tidak boleh dimaafkan', dan sepatutnya boleh dicegah.

Katanya, pemeriksaan terhadap roller coaster di pameran itu mendapati pemeriksaan penumpang tidak dijalankan mengikut syarat ditetapkan dan kakitangan juga tidak dilatih dengan betul.

Insiden tersebut sekali gus mengetengahkan keperluan untuk pembaharuan segera bagi penambahbaikan pengurusan tunggangan hiburan di Australia.

Ia juga termasuk pelaksanaan proses kawal selia di seluruh negara, pangkalan data nombor pendaftaran reka bentuk dan pemeriksaan oleh pemeriksa tunggangan yang lebih baik.

Susulan itu, agensi kebangsaan untuk kesihatan dan keselamatan kerja sedang mempertimbangkan cadangan itu.

Berhubung kes Leong pula, Pengarah Pendakwaan Awam telah menetapkan pada tahun 2016 untuk tidak meneruskan pertuduhan jenayah berhubung kematian Leong.

Bagaimanapun, Sullivan dan syarikatnya kemudian disabitkan pada 2017 kerana melanggar undang-undang kesihatan dan keselamatan tempat kerja. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram