Hari lahir bertukar tragedi selepas tangan digigit kucing


  • Benua
  • Khamis, 12 Mei 2022

Farmer terpaksa tinggal di hospital selama seminggu dan menjalani lima pembedahan.

SEORANG wanita di Essex, Britain meraikan hari ulang tahun yang mencemaskan selepas seekor kucing tiba-tiba menggigit jarinya dengan ganas.

Susulan kejadian itu, wanita tersebut, Scharrowne Farmer, 54, mungkin boleh kehilangan jari tengahnya akibat kejadian tersebut.

Insiden itu berlaku semasa Farmer bergegas untuk membantu seekor kucing cedera yang diketahui semasa melihat satu hantaran di Facebook tentang situasi haiwan tersebut.

Kucing itu telah dilanggar oleh sebuah kereta dan ditemui berteduh di bawah semak berhampiran tepi jalan.

Scharrowne bergegas keluar untuk membantunya walaupun pada hakikatnya tarikh itu, 18 April 2022, juga merupakan hari ulang tahun kelahirannya yang ke-54.

Niat murni Farmer akhirnya bertukar tragedi apabila haiwan itu tiba-tiba menyerang dan menggigit jarinya semasa dia cuba untuk menyelamatkannya.

Meskipun digigit, dia tetap membawa kucing itu ke doktor haiwan sebelum pulang ke rumah buat meraikan hari lahirnya, tetapi keadaan jarinya menjadi semakin teruk.

Farmer seterusnya terpaksa tinggal di hospital selama seminggu dan menjalani lima pembedahan.

Katanya sakit yang dirasakan olehnya sama seperti mahu bersalin.

"Saya pernah digigit kucing sebelum ini, tetapi ini benar-benar menyakitkan.

"Pada masa kami tiba di restoran untuk hari lahir saya, jari saya telah menggelembung dan cincin saya melekat pada kulit saya.

"Saya menjalani empat pembedahan dalam seminggu, setiap kali doktor membuat pemeriksaan, mereka berkata luka itu memerlukan lebih banyak pembedahan untuk membuang jangkitan," katanya.

Tambahnya lagi, dia kini sudah berada di rumah, bagaimanapun wanita itu perlu melakukan fisioterapi pada jari itu supaya ia tidak kehilangan pergerakannya.

Jelasnya lagi, proses itu sangat menyakitkan dia benar-benar tidak boleh melakukannya.

"Doktor masih tidak tahu sama ada saya akan kehilangan pergerakan di jari saya dan semua ini berlaku kerana saya cuba menjadi orang yang baik.

"Semasa cuba menangkap kucing tersebut saya cuba mengangkatnya itu dengan tuala beberapa kali tetapi tidak berjaya sehingga dia akhirnya memutuskan untuk menggunakan tangan.

"Pada masa inilah gigi haiwan itu terbenam ke dalam jari saya," ujarnya.

Tambahnya lagi, walaupun kucing itu di bawa ke klinik haiwan, ia mati tidak lama selepas tiba di situ kerana pelvis yang hancur.

Farmer dibenarkan keluar dari hospital pada 25 April 2022, seminggu selepas hari lahirnya.

Tetapi ketika ini dia mendapati bahawa hampir mustahil untuknya melakukan tugas menjaga haiwan termasuk kuda, anjing dan kucing hingga terpaksa mengambil cuti kerja.

"Bukannya saya tidak pernah digigit kucing, malah saya membantu kucing sepanjang masa.

"Saya sering membawa kucing mati dari jalan ke doktor haiwan supya mereka boleh memeriksa cip dan memberitahu pemiliknya," tambahnya lagi. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram