Lelaki obesiti 275kg parah terhempas wayar lif putus, dapat dua katil hospital


  • Benua
  • Selasa, 10 Mei 2022

Keadaan mangsa ketika dikejarkan di hospital. — Agensi

SEORANG lelaki obesiti seberat 275 kilogram (kg) terjatuh bersama-sama lif di dalam rumahnya di Kota Malang, di Jawa Timur, Indonesia pada petang Sabtu.

Ketika kejadian, wayar anduh lif tersebut terputus sekali gus menyebabkan kemudahan itu terjatuh ketika mangsa berada di dalamnya.

Mangsa dikenali sebagai Dwi Ariesta Wardhana yang tinggal di Perum Puri Kartika, Arjowinangun, dekat Kedungkandang, Kota Malang.

Anggota pihak berkuasa, Edi Susianto berkata, lif terbabit sememangnya satu kemudahan buat mangsa sekeluarga untuk turun naik di rumahnya.

Ketika kejadian, mangsa yang berada di tingkat dua mahu turun ke tingkat satu.

"Secara tiba-tiba wayar anduh lif putus dan dia terjatuh," katanya.

Edi berkata, mangsa mengalami patah kedua-dua kaki akibat kejadian tersebut dan kini dirawat di Hospital Dr Syaiful Anwar.

Katanya, mangsa menerima layanan istimewa dari pihak hospital apabila mendapat dua katil bagi menampung berat badannya.

"Ini untuk mengelakkan mangsa terjatuh apabila hanya berbaring di atas satu katil," jelasnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

jatuh lif, lelaki, patah kaki, obesiti