Harga mi soba bakal melonjak ekoran perang Rusia-Ukraine


  • Benua
  • Selasa, 03 Mei 2022

Kebanyakan peniaga bingung dengan kenaikan harga barang terutama bahan utama pembuatan mi soba.

PENIAGA tempatan, Ryu Ishihara tidak lama lagi akan menaikkan harga semangkuk mi sobanya yang tidak mahal buat pertama kali selepas hampir sedekad.

Ia berikutan kerana kenaikan kos dan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine memberi kesan kepada kos bahan mi soba kegemaran rakyat Jepun.

Walaupun dilihat sebagai salah satu makanan Jepun yang paling penting dan dimakan pada Malam Tahun Baharu sebagai simbolik nasib baik, sebahagian besar soba (gandum kuda) yang digunakan dalam pembuatan mi itu berasal dari Rusia, (pengeluar soba terkemuka di dunia).

Soba Rusia masih boleh diimport, tetapi ketidakstabilan dan gangguan penghantaran telah menghalang dan melewatkan ketibaan bahan itu di Jepun.

Hal itu telah menyukarkan pemilik kedai soba seperti Ishihara yang sudah menderita kerana lonjakan global dalam harga komoditi, ditambah dengan kejatuhan yen, menyebabkan harga hidangan itu meningkat.

Harga kicap, tepung, sayur-sayuran untuk tempura dan juga ikan yang digunakan untuk kuahnya juga telah meningkat.

"Pembekal melakukan semua yang mereka boleh, tetapi kali ini keadaannya sangat teruk tidak ada cara untuk mengelak daripada menaikkan harga. Oleh itu kami (peniaga) juga terpaksa menaikkan harga sebanyak 10 hingga 15 peratus," kata Ishihara.

Soba terkenal sebagai hidangan murah yang dihidangkan sejuk atau panas, seringdjual di kedai-kedai kecil tanpa temoat duduk di Jepun dan disediakan dengan cepat. Kiraan kalori rendah mi dan kandungan vitamin dan mineral yang berkhasiat menjadikannya sebagai makanan sihat.

Harga hidangan mi soba Ishihara bermula dari 290 yen (RM9.80) sehingga 550 yen (RM18.40), dengan tambahan seperti tempura dan set dengan nasi yang berharga lebih mahal.

"Kini, dengan perang, kos mengimport soba juga telah meningkat," katanya.

Jepun pada 2020 menghasilkan hanya 42 peratus daripada keperluan sobanya, menurut Persatuan Soba Jepun. Jurang itu diisi oleh import, dengan Rusia sebagai sumber ketiga terbesar soba dari 2018, menurut Kementerian Pertanian.

Pada 2021, Rusia naik ke tangga kedua, menggantikan China, dan sehingga Februari ia berada di tempat pertama.

Bagaimanapun, perang Rusia-Ukraine, menyebabkan lonjakan harga komoditi, manakala yen Jepun pula menjunam ke paras terendah selepas 20 tahun. Selain itu, sekatan dan tindakan keras terhadap sistem perbankan Rusia, yang telah membekukan Moscow daripada kewangan antarabangsa, telah menyukarkan untuk menyelesaikan beberapa akaun.

Hal ini meyebabkan pengimport dan pengilang soba, Nikkoku Seifun Co Ltd di Matsumoto, Hua Yue, bingung.

Syarikatnya mengimport benih soba dari Rusia, serta negara lain termasuk China, dalam guni antara 800 hingga 1,000 tan, walaupun dia enggan memberikan jumlah atau peratusan yang tepat tentang jumlah yang disediakan oleh setiap negara.

Setakat ini, masalah terbesar ialah kelewatan dan kenaikan 30 peratus dalam harga soba Rusia sejak enam bulan lalu, walaupun itu sebahagiannya disebabkan oleh pemberhentian eksport tahun lepas.

Dengan Rusia mengeluarkan separuh soba dunia, masalah bermakna permintaan akan beralih kepada pengeluar kedua terbesar China. Tetapi dengan China mengurangkan pengeluaran soba setiap tahun, harga mungkin akan meningkat lagi.

"Jadi mungkin sukar untuk makan soba di tempat kos rendah," tambahnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram