Gaji RM17,000 sebulan tapi masih nak rompak bank


  • Benua
  • Khamis, 07 Apr 2022

Suasana pejabat Bank BJB cawangan Fatmawati di Jalan RS Fatmawati Raya, Cilandak, Jakarta Selatan, yang menjadi sasaran rompakan pada Selasa lalu. — Agensi

SEORANG pegawai sebuah institusi kewangan menggemparkan Indonesia selepas nekad merompak sebuah bank di Cilandak, Jakarta Selatan.

Ketua Polis Metro Jakarta Selatan, Komisaris Besar Budhi Herdi Susianto berkata, rompakan itu bermotifkan faktor ekonomi.

“Berdasarkan hasil siasatan polis terhadap pelaku, diketahui bahawa pelaku ini melakukan jenayah itu atas alasan ekonomi,” kata Budhi seperti dipetik Tribun News pada Rabu.

Budhi memaklumkan bahawa suspek adalah seorang pekerja di sebuah bank swasta yang menerima gaji sejumlah 60 juta rupiah (RM17,585.76) sebulan.

"Sebenarnya jawatan dia agak baik, malah jika dilihat dari segi pendapatan atau gaji pun agak besar. Kalau tak silap saya, 60 juta rupiah sebulan," kata Budhi.

Beliau berkata, selepas disiasat, suspek didapati berhutang dan perlu melangsaikan pinjaman itu dalam masa terdekat.

Menurutnya, suspek menjalankan rompakan pada siang hari di Bank Jabar Banten (BJB) cabang Fatmawati, Cilandak pada Selasa (5 April lalu) kira-kira pukul 2.30 petang.

Suspek yang berusia 43 tahun itu, katanya datang menggunakan kereta jenis Daihatsu Xenia berwarna kelabu dan meletakkan kenderaan itu di depan bank terbabit.

Polis menunjukkan barang bukti kes rompakan di Bank BJB Fatmawati, pada Selasa lalu. — Agensi

"Dia kemudian keluar dari kereta dan berjalan menuju ke bank. Pada masa itu BJB telah menutup perkhidmatannya untuk pelanggan.

"Papan tanda bertulis 'tutup' di hadapan pintu kaca juga telah dipasang, namun suspek tidak mengendahkan dan terus masuk ke bank berkenaan.

"Dia kemudian mengacukan senjata kepada kakitangan dan pekerja di bank itu. Salah seorang anggota keselamatan enggan menuruti permintaan suspek hingga memaksa dia melepaskan tembakan," kata Budhi.

Mengulas lanjut, Budhi berkata, pengawal keselamatan itu menyedari bunyi letupan senjata itu bukan datang daripada pistol sebenar lalu dia memberanikan untuk melawan suspek.

"Ketika pergelutan berlaku, ada sebahagian kakitangan bank keluar menjerit meminta pertolongan.

"Kebetulan, kereta peronda polis sedang melalui kawasan itu dan ternampak kejadian berkenaan sebelum melalukan tangkapan ke atas suspek," katanya.

Katanya lagi, senjata yang digunakan suspek dirampas dan dikenal pasti sebagai airsoft gun.

"Polis turut merampas senjata lain yang dibawa suspek termasuklah pisau lipat, tali kabel dipercayai untuk mengikat tebusan dan mercun serta bom asap.

"Suspek mungkin dipengaruhi filem aksi untuk melakukan rompakan sebegini," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram