KEMENTERIAN Pelancongan dan Sukan Thailand akan mencadangkan kepada pasukan petugas Covid-19 kerajaan untuk membatalkan ujian RT-PCR mandatori bagi ketibaan antarabangsa dan menggantikannya dengan ujian antigen (ATK) yang dilakukan sendiri mulai Mei.
Dalam usaha merancakkan semula industri pelancongannya, Menteri Pelancongan dan Sukan Phiphat Ratchakitprakarn berkata, pengembara yang lengkap divaksin tidak perlu menginap di hotel yang ditempah awal dan menjalani ujian RT-PCR mandatori semasa ketibaan.
"Kami jangka langkah itu akan dilulus dan dilaksanakan mulai 1 Mei, dengan syarat tiada lonjakan jangkitan baharu Covid-19 dan kematian semasa dan selepas perayaan Songkran (13 hingga 15 April),” katanya dipetik The Nation.
Setakat ini, pengembara antarabangsa yang memasuki negara itu perlu memohon dalam talian untuk mendapatkan "Pas Kebenaran Thailand " sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum perjalanan.
Di bawah program "Test & Go" tanpa kuarantin, pengembara juga perlu menempah awal hotel yang ditetapkan, serta melakukan ujian RT-PCR pada hari pertama ketibaan dan ujian ATK pada hari kelima.
Pelancong juga perlu membeli insurans perubatan dengan perlindungan minimum US$20,000.
Mulai 1 April, pengembara antarabangsa yang lengkap divaksin tidak perlu menjalani ujian Covid-19 yang dibuat 72 jam sebelum berlepas ke Thailand.
Minggu lalu, Phiphat berkata kementerian akan mencadangkan pelonggaran sekatan perjalanan termasuk membatalkan pendaftaran "Test & Go” dan "Pas Kebenaran Thailand” selewat-lewatnya pada 1 Jun jika tiada peningkatan jangkitan atau kematian semasa perayaan Songkran.
"Langkah itu akan memulihkan perjalanan biasa ke Thailand "seperti pada 2019" sebelum sekatan perjalanan Covid-19 global," katanya.
Pada 2019, Thailand mencatatkan hampir 40 juta pengunjung termasuk 4.1 juta pengunjung dari Malaysia. Jumlah ketibaan pelancong menurun kepada 6.7 juta pada 2020.
Majlis Pembangunan Ekonomi dan Sosial Negara pada Isnin mengunjurkan 5.5 juta pelancong tahun ini.
Thailand merekodkan 21,678 kes baharu Covid-19 dan 78 kematian dalam tempoh 24 jam terakhir, menjadikan jumlah jangkitan di negara itu kepada 1,351,963 dan 24,958 kematian, setakat ini. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram