ARTIS antarabangsa, Dave Grohl berdepan dengan detik sedih apabila sekali lagi terpaksa kehilangan rakan seperjuangannya.
Sebelum ini, dia kehilangan Kurt Cobain apabila vokalis Nirvana itu membunuh diri pada 1994.
Kini, Grohl yang juga pemain gitar terpaksa menerima pemergian pemain dram Foo Fighters, Taylor Hawkins pada Jumaat.
Hawkins, 50, dilaporkan mati mengejut di Bogotá, Colombia, yang mana pihak berkuasa percaya kematiannya ada kaitan dengan penyalahgunaan dadah.
Bulan lalu, sebelum pembukaan filem komedi seram Studio 666, Grohl memberitahu media bahawa dia meyakini hubungan persaudaraan dalam sebuah kumpulan dan oleh sebab itu dia tidak pernah bergerak solo.
"Saya suka berada dalam kumpulan.
"Saya tidak tahu bagaimana rasanya jika saya berjalan di atas pentas dan saya tidak mengenali pemain keyboard atau saya tidak akan mengenali pemain drum.
"Jika mereka digantikan dengan ahli baharu saya tidak tahu sama ada saya mahukannya, namun sejujurnya saya tidak akan melakukannya," katanya.
Meskipun pernah kecewa kehilangan Cobain, Grohl telah menemui hubungan kumpulan lebih mendalam dengan Hawkins dan Foos Fighters.
"Saya dapat merasakan sesuatu ketika berjalan di atas pentas dengan anda (ahli kumpulan). Rasa selamat.
"Ada sesuatu yang dapat saya rasakan ketika berada di dalam kumpulan ini. Bukan saya sahaja tapi kita yang menentang dunia.
"Saya tidak tahu bagaimana rasanya menjadi artis solo, tetapi saya tahu bagaimana rasanya berada di dalam kumpulan ini. Dan saya boleh katakan, ia terasa sangat bagus," katanya.
Dalam memoirnya pada 2021 iaitu The Storyteller, Grohl menggelar Hawkins antara lain sebagai abang dan kawan baik.
Selain itu, Grohl menceritakan dia senang untuk mendekati Hawkins yang menyertai Foo Fighters pada 1997.
"Setelah pertemuan pertama, hubungan kami serta-merta rapat apatah lagi setiap hari kami mainkan setiap not dan lagi bersama.
"Kami sememangnya ditakdirkan untuk bersama dan saya bersyukur kerana kami bertemu antara satu sama lain," katanya.
Hawkins menjadi anggota Foo Fighters yang cukup bertahan lama sejak kumpulan itu ditubuhkan.
Dia menggantikan pemain dram terdahulu William Goldsmith pada 1997.
Hawkins meninggalkan isteri Alison dan tiga anak mereka. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram