TENTERA Rusia berjaya diusir sejauh lebih 70 kilometer dari ibu negara, Kyiv di beberapa lokasi tertentu hasil kejayaan operasi ketenteraan Ukraine, kata jurucakap Kementerian Pertahanan Ukraine pada Sabtu.
"Di beberapa kawasan lain, unit Angkatan Tentera Rusia berada 35 kilometer (sekitar 22 batu) dari Kyiv," kata Oleksandr Motuzyanyk pada sidang media, lapor Agensi Anadolu.
Bagaimanapun, katanya, tiada sebarang tanda pengunduran tentera Rusia dari kawasan tertentu di Kyiv buat masa ini.
Motuzyanyk mendakwa Ukraine berjaya melaksanakan mobilisasi dan kini di peringkat kedua mobilisasi.
"Kami telah mengerah lebih 100,000 orang. Pada masa ini, seluruh negara menyertai usaha menentang penceroboh," katanya.
Krisis Rusia-Ukraine mendapat tentangan antarabangsa, dengan Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat dan United Kingdom serta beberapa negara lain melaksanakan sekatan kewangan ke atas Moscow.
Sekurang-kurangnya 1,081 orang awam telah terbunuh dan 1,707 yang lain cedera manakala lebih 3.7 juta melarikan diri ke negara jiran, menurut agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram