TUMPUAN media Thailand terarah kepada berita kematian pelakon Nida 'Tangmo Patcharawirapong sejak 24 Februari lalu, iaitu hari dia dilaporkan terjatuh ke Sungai Chao Phraya daripada sebuah bot laju persendirian.
Liputan media mengenai kematiannya yang dilaporkan dengan penemuan samar-samar sejak beberapa minggu lalu menjadi keterlaluan, walaupun isu lebih penting seperti perang Rusia-Ukraine dan pandemik Covid-19 mendominasi tajuk berita utama dunia.
Tanda pagar berkaitan kematian Tangmo telah menjadi sohor kini di media sosial sejak seminggu lalu. Berjuta-juta ciapan (tweet) dipam ke Twittersphere setiap hari, menyebabkan berita terkini dan pelbagai spekulasi tersebar.
Laporan berita itu tidak dinafikan memberi gambaran tentang minat orang ramai terhadap siasatan polis yang sedang berjalan ketika ini. Di sebalik itu, ada sesetengah pihak bimbang ia bakal menjadi satu teledrama media (media soap opera).
Pensyarah, Fakulti Sosiologi dan Antropologi Universiti Thammasat, Prof Madya Dr Yukti Mukdawijitra memberi amaran kepada media supaya tidak mensensasikan berita itu.
"Media arus perdana harus menggalakkan kematangan (pelaporan berita) dengan memberi tumpuan kepada proses pengadilan.
"Sebagai contoh, semak siapa yang boleh menaiki bot secara sah ke Sungai Chao Phraya atau melakukan kewartawanan penyiasatan," katanya ketika ditemu bual dalam rancangan bual bicara langsung di saluran YouTube Unpuwanart baru-baru ini.
Sementara itu, Prof Madya Dr Jiraporn Arunakul, pakar pediatrik dan pemilik laman Facebook popular, Takekidswithus menyifatkan ketaksuban masyarakat Thailand terhadap pembalasan setimpal kepada pesalah kadangkala boleh membawa kepada keadilan.
Dalam catatannya mengenai kes Tangmo, beliau menegaskan bahawa liputan media dan perhatian umum semasa adalah wajar. Ini termasuk perang yang berterusan di Eropah, protes petani Thai, kenaikan harga minyak dan kebakaran hutan di Chiang Mai.
Bolehkah media membantu siasatan?
Beberapa rakan rapat mendiang Tangmo berkata, mereka sengaja memberikan kenyataan dan rela ditemubual dengan harapan supaya media dapat membantu memastikan siasatan kematian Tangmo dijalankan secara adil dan teliti.
Beberapa media Thailand telah menjalankan penyiasatan mereka sendiri antaranya dengan menemu bual saksi dan pakar, memeriksa rakaman video kamera keselamatan dan melakonkan semula percubaan Tangmo yang kononnya mahu meloloskan diri dari belakang bot.
Malah seorang wartawan sengaja menjatuhkan diri dari bot yang dipandu pada kelajuan sama seperti bot dinaiki Tangmo untuk melihat kesan potongan bilah kipas ke atas badannya di dalam air.
Ini kerana terdapat luka dalam ditemui pada paha Tangmo, tetapi penyiasat masih belum boleh memastikan sama ada ia disebabkan oleh bilah kipas tersebut.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Wilayah 1, Mejar Jeneral Udorn Yomcharoen seperti dipetik Bangkok Post berkata, polis perlu menunggu kira-kira seminggu dari sekarang untuk keputusan pemeriksaan forensik lanjut bagi menentukan punca luka dalam pada paha kiri Tangmo.
Hasil keputusan itu, katanya mungkin membawa kepada pertuduhan lain.
Buat masa ini, dua saksi yang bersama dengan Tangmo pada malam kejadian berdepan pertuduhan mengendalikan kapal tidak berlesen dan kecuaian yang membawa kepada kematian.
Mereka ialah pemilik bot laju itu, Tanupat 'Por' Lerttaweewit dan Phaiboon 'Robert' Trikanjananun yang memandu bot berkenaan pada malam kejadian.
Tiga saksi lain ialah pengurus Tangmo yang juga rakan baiknya, Idsarin 'Gatick' Juthasuksawat; transgender elit, Wisapat 'Sand' Manomairat dan ahli perniagaan, Nitas 'Job' Kiratisoothisathorn. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram