BERIKUTAN rundingan damai antara Ukraine dan Rusia gagal mencapai kata sepakat sebanyak dua kali, kedua-dua negara itu dijangka bertemu di meja bulat untuk kali ketiga pada Isnin.
Perkara itu disahkan oleh delegasi Ukraine, David Arahamia menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Terdahulu pada Jumaat, penasihat Presiden Ukraine, Mykhailo Podolyak dilaporkan berkata, rundingan pusingan ketiga antara Ukraine dan Rusia akan berlangsung pada Sabtu atau Ahad.
Sementara itu, Presiden Rusia, Vladimir Putin menerusi perbualan telefon dengan Canselor Jerman, Olaf Scholz pada Jumaat berkata, Rusia terbuka untuk berdialog dengan Ukraine.
Putin berharap Kyiv akan mengambil 'pendirian yang munasabah dan konstruktif' semasa rundingan pusingan ketiga itu.
Ukraine dan Rusia sebelum ini sudah mengadakan dua kali rundingan iaitu pada 28 Februari dan 3 Mac. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram