Peniaga khuatir minyak masak paket tak laku akibat harga terlalu mahal


  • Benua
  • Rabu, 02 Feb 2022

HARGA minyak masak paket di pasaran Indonesia kini dijual pada RM5.80 hingga RM6.40 seliter. — Agensi

PENIAGA di pasar tradisional di Kabupaten Bandung Barat (KBB), dekat Jawa Barat, Indonesia bimbang apabila stok minyak masak paket masih belum terjual akibat harganya melambung tinggi.

Harga minyak masak paket di pasaran kini dijual pada 20 ribu rupiah (RM5.80) hingga 22 ribu rupiah (RM6.40) seliter, berbanding sebelum ini yang hanya 12 ribu rupiah (RM3.50) hingga 13 ribu rupiah (RM3.80) seliter.

Peniaga, Andri, 37, berkata, dia kini mempunyai sebanyak lima kotak minyak masak paket yang masih belum dijual sejak kira-kira sebulan lalu.

"Ini stok minyak masak saya yang belum dijual. Ya, sebab harganya yang mahal menyebabkan tiada pembeli," katanya.

Katanya, kebanyakan pelanggan yang datang ke premisnya sering kali bertanya mengenai stok minyak masak murah, yang dibekalkan daripada kerajaan dengan harga 14 ribu rupiah (RM4) hingga 15 ribu rupiah (RM4.30) seliter.

"Kebanyakannya tanya harga yang murah sebab mereka menonton di kaca televisyen, mendakwa harganya murah. Minyak masak murah dari kerajaan tidak langsung masuk ke pasaran, sebaliknya ke pasar mini," katanya.

Akibat itu, katanya, kebanyakan pengguna membatalkan pembelian minyak masak kerana harganya tidak murah seperti yang dijangkakan.

"Ya, jangan beli. Ada orang kurang berkemampuan tanya harganya, rupa-rupanya masih mahal. Lepas tu tak jadi beli sebab tak cukup duit. Ramai yang macam itu," katanya lagi.

Sebagai seorang yang sudah lama berkecimpung dalam dunia perniagaan, Andri berkata, terdapat penyelesaian yang boleh diambil kerajaan Indonesia bagi mengatasi masalah harga minyak masak yang tinggi selain stok yang terhad.

Menurutnya, kerajaan boleh membeli minyak masak paket yang dijual oleh peniaga di pasaran, supaya boleh dijual semula kepada pengguna dengan harga 14 ribu rupiah seliter.

"Sepatutnya kerajaan beli minyak masak stok kita (peniaga pasar). Contohnya, dulu kita bayar 6 ribu rupiah (RM1.70) dari harga jualan kita 20 ribu rupiah. Jadi, ia boleh dijual semula kepada pengguna dengan harga 14 ribu rupiah," katanya.

Andri berkata, cadangan itu berkesan dalam mengurangkan harga minyak masak yang mahal dan menyelesaikan masalah kekurangan stok.

Tambahnya, ketika ini adalah mustahil untuk menjual minyak masak paket pada harga yang ditetapkan kerajaan iaitu 14 ribu rupiah.

"Saya baru beli dengan modal 19 ribu rupiah (RM5.50), bila nak jual balik terpaksa tetapkan 14 ribu rupiah. Saya sekarang jual 20 ribu rupiah tetapi untung sedikit.

"Saya harap kerajaan dapat mendengar penyelesaian peniaga minyak yang jelas tahu tentang keadaan di lapangan," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

minyak masak, Jawa Barat, Indonesia, peniaga