SERAMAI 11 individu termasuk beberapa wanita ditahan selepas seorang ibu muda yang berusia 21 tahun didakwa diculik, dirogol beramai-ramai dan kemudian diarak di sepanjang jalan di Delhi, India.
Kejadian terbaru keganasan seksual itu mendapat kecaman meluas termasuk daripada Suruhanjaya Wanita Delhi dan Ketua Menteri Delhi, yang menyifatkan kejadian itu sebagai memalukan.
Rakaman video di media sosial menunjukkan muka mangsa dihitamkan dengan dakwat serta rambutnya dicukur. Mangsa kemudian ditolak dan dicemuh oleh beberapa wanita ketika penonton bersorak dan merakam kejadian itu menggunakan telefon bimbit mereka.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Delhi, R. Sathiyasundaram berkata, kejadian di daerah Shahdara di timur Delhi pada hari Rabu itu dipercayai akibat permusuhan antara jiran.
Beliau tidak memberikan butiran lanjut namun menurut laporan media, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun, yang merupakan saudara pelaku kes itu, membunuh diri dengan melompat di hadapan kereta api selepas mangsa yang sudah berkahwin itu menolak lamarannya.
"Kesemua 11 yang ditahan termasuk dua individu bawah umur adalah dari keluarga sama dan rakaman video jelas menunjukkan anggota wanita keluarga itu dalangnya," kata Sathiyasundaram kepada AFP.
Mangsa memberitahu polis dia diculik oleh ahli keluarga remaja terbabit sebelum dirogol beberapa lelaki. Mangsa juga kemudian dikatakan dipukul dengan kayu sebelum diarak di jalanan.
"Kami sedang meneliti rakaman video untuk mengenal pasti mereka yang terlibat dan akan ada lebih banyak tangkapan," katanya.
Mangsa yang mempunyai seorang anak berusia dua tahun itu kini menerima kaunseling selepas kejadian itu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram