
KOREA Utara menjalankan ujian sasaran peluru berpandu jarak jauh dan ujian tembakan peluru berpandu taktikal permukaan ke permukaan masing-masing pada Selasa dan Khamis.
Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) pada Jumaat berkata, ujian senjata berkenaan dipantau Jabatan Industri Pembekalan Senjata bahagian Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Pekerja Korea dan Akademi Sains Pertahanan.
"Ujian pelancaran peluru berpandu itu adalah bagi mengemas kini sistem peluru berpandu jarak jauh yang dijalankan pada Selasa.
"Dua peluru berpandu jarak jauh dilancarkan ke arah Laut Timur Korea sebelum mengenai pulau sasaran sejauh kira-kira 1,800 kilometer,"katanya.
Ujian senjata pada Khamis merupakan ujian peluru berpandu keenam yang dijalankan Pyongyang sejak 5 Januari lalu.
Siri ujian sebelum ini termasuk peluru berpandu hipersonik, peluru berpandu balistik yang dilancarkan menggunakan kereta api, peluru berpandu taktikal dan peluru berpandu jelajah. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram