RAKAN kepada penyerang Liverpool, Mohamed Salah iaitu Mostafa Mohamed kini menjadi buruan pihak berkuasa selepas didapati meniru dalam peperiksaan.
Mohamed yang juga rakan sepasukan Salah dalam skuad kebangsaan Mesir itu kini sedang beraksi untuk Mesir untuk Piala Negara-Negara Afrika (Afcon).
Penyerang pasukan bola sepak The Galastaray itu didakwa menggunakan individu lain yang menyamar sebagai dirinya untuk hadir mengambil ujian.
Difahamkan, ini bukan kali pertama pemain skuad kebangsaan Mesir itu menggunakan individu lain untuk mengambil ujian bagi pihaknya.
Pemain berusia 24 tahun itu buat masa ini sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang teknologi maklumat di Higher Institute for Management and Information Technology di Giza, Mesir.
Sementara itu, individu yang menyamar sebagai Mohamed memberitahu media bahawa ini adalah kali pertamanya melakukan perkara tersebut.
"Mohamed merupakan rakan serta jiran saya. Jika saya tidak lakukan ujian tersebut, masa depannya akan gelap. Sebab itu saya bantu dia," katanya kepada media tempatan.
Sementara itu, individu yang menyamar itu kini sudah ditahan oleh pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.
Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi berkenaan dengan kes tersebut.
Untuk rekod, ini bukan kali pertama kes seumpamanya berlaku. Sebelum ini, pemain Atletico Madrid, Luiz Suarez juga didakwa menggunakan individu lain untuk menghadiri ujian bahasa Itali ketika ditawarkan untuk bersama pasukan Juventus. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram